X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

'Tak sangka arwah terjun empangan mahu selamatkan saya'

Mayat Hamzah Ilya Azman, ditemui pada jam 6.02 petang hari sama kira-kira tiga meter dari tebing empangan. Ahmad Nabil (kiri) dan Hamzah Ilya (kanan).
A
A

KUALA KUBU BHARU - Mangsa terselamat dalam tragedi lemas selepas terjatuh ke dalam empangan di Jambatan Kampung Pertak, Kuala Kubu Bharu, sempat melihat rakannya tenggelam timbul dua kali di permukaan air sebelum hilang daripada pandangan.

Ahmad Nabil Yasin Abdul Rashih, 20, berkata, kejadian kira-kira jam 3 petang Sabtu itu berlaku sewaktu Allahyarham Hamzah Ilya Azman, 19, melihat dia tergelincir dan terjatuh dari jambatan empangan.

Menurutnya, panik dengan kejadian itu, Allahyarham terus berlari ke tepi tebing dan terus bertindak terjun ke empangan untuk menyelamatkannya.

"Saya tak sangka pula dia terus terjun ke dalam empangan dan sebaik saya naik ke tebing untuk mencari kayu untuk membantu menarik arwah saya nampak dua tangannya terkapai-kapai sebelum terus tenggelam," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Ahmad Nabil berkata, pengalaman berkhidmat sebagai sukarelawan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sejak tiga bulan lalu membantunya menyelamatkan diri daripada lemas.

Mengulas lanjut, Ahmad Nabil berkata, kejadian berlaku apabila mereka singgah di empangan terbabit selepas bertemu rakan mereka yang ingin ke Langkawi di terminal Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang.

Katanya, sebaik bertemu rakannya itu, dia yang menaiki kereta bertiga bersama Allahyarham Hamzah Ilya dan seorang lagi rakannya terus ke empangan berkenaan.

"Sejurus tiba di lokasi, saya dan arwah keluar dari kereta, manakala seorang lagi rakan tidak ikut serta kerana tidur di dalam kenderaan.

"Saya yang sedang duduk di besi penghadang jambatan empangan tiba-tiba tergelincir dan terjatuh ke dalam empangan sewaktu arwah Ilya ingin merakam gambar.

"Pada waktu terjatuh saya hanya ingat pada ALLAH dan sempat mengucap sebelum keseluruhan badan saya terhempas ke permukaan air.

"Alhamdulillah saya terselamat dalam kejadian ini, tetapi luluh hati apabila rakan baik saya pergi buat selamanya," katanya.

Ahmad Nabil yang menetap di Selayang berkata, Allahyarham Hamzah Ilya disifatkan seorang yang baik sejak mengenalinya semasa berada di sekolah rendah.

"Saya sudah lama kenal arwah dan dia seorang insan yang sentiasa menjaga solat, malah sering menjadi imam setiap kali kami singgah untuk menunaikan solat.

"Semalam (Sabtu) arwah sempat mengimamkan solat Zuhur berjemaah sewaktu kami singgah di sebuah stesen minyak sebelum sampai ke lokasi kejadian.

"Kehilangan arwah amat dirasai apatah lagi arwah sering terlibat dalam aktiviti amal seperti gotong-royong membersihkan tanah perkuburan dan sebagainya," ujarnya.

Allahyarham Hamzah Ilya sebelum itu dilaporkan lemas ketika cuba menyelamatkan Ahmad Nabil yang terjatuh ke dalam empangan di Jambatan Kampung Pertak, Kuala Kubu Bharu, pada Sabtu.

Mayat Hamzah Ilya Azman, ditemui pada jam 6.02 petang hari sama kira-kira tiga meter dari tebing empangan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, gerakan mencari dan menyelamat dilakukan selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.54 petang Sabtu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!