Tiada pesakit Covid-19 orang asli lari ke hutan

Tangkap layar sekumpulan individu menguruskan jenazah pesakit Covid-19 yang tular di media sosial, baru-baru ini. Foto: ihsan pembaca
Tangkap layar sekumpulan individu menguruskan jenazah pesakit Covid-19 yang tular di media sosial, baru-baru ini. Foto: ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Jabatan Kesihatan Negeri Perak mengesahkan laporan pesakit Covid-19 orang asli di Ulu Groh, Gopeng di sini yang melarikan diri dengan masuk ke dalam hutan adalah maklumat palsu.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, tiada laporan rasmi diterima oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kampar mengenai kejadian itu selepas video beberapa individu berpakaian perlindungan diri (PPE) menyeberangi sungai tular sejak Jumaat.

"Ini video pengebumian berkemungkinan pada Selasa lalu. Jenazah sampai ke kampung lewat kira-kira jam 7 petang. Oleh kerana petugas dan dua orang waris sudah menunggu, jadi mereka teruskan pengebumian.

"Lokasi pengebumian adalah di seberang sungai. Hanya satu cara untuk menyeberangi sungai adalah melalui jambatan buluh tersebut," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Menurutnya, jenazah diuruskan dengan dibalut lapisan pelindung yang telah disinfeksi sepertimana prosedur jenazah pesakit Covid-19 dan selamat dikebumikan di kampung terbabit.

Lay Ming berkata, keselamatan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kampung berkenaan dikawal rapi oleh polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) susulan pengesanan 52 kes positif dengan satu kematian pada 8 September lalu.

Katanya, bantuan makanan asas turut disediakan dan diselaraskan oleh Jawatankuasa Bencana Daerah Kampar dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa)

"Sehingga Jumaat lalu, 204 kes positif kumulatif Covid-19 telah dilaporkan dengan enam kematian direkodkan dalam kalangan penduduk orang asli di situ.

Artikel Berkaitan:

"Daripada keseluruhan jumlah kes positif, 191 individu dihantar ke Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Sungkai, PKRC Arena Ipoh (2), 10 kes dimasukkan ke hospital dan satu kematian dirumah," katanya.

Pelaksanaan PKPD di Kampung Ulu Groh itu berkuat kuasa selama 14 hari bermula 12 September hingga 25 September ini.