X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

1,665 kekosongan jawatan di JBPM

Dr Ismail menandatangani buku pelawat sambil disaksikan Yahaya (kanan) semasa melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat JBPM Johor, di Kangkar Tebrau, Johor Bahru pada Ahad.
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 1,665 kekosongan jawatan dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara perlu diisi segera bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, kekosongan jawatan itu melibatkan pengurusan tertinggi dan profesional serta kumpulan pelaksana.

Beliau, walaupun keadaan itu bukan satu keperluan mendesak ketika ini, namun jawatan tersebut perlu diisi kerana JBPM merupakan satu perkhidmatan penting.

"Setakat ini, terdapat 55 kekosongan daripada 490 perjawatan bagi pengurusan tertinggi dan profesional, manakala 1,610 kekosongan daripada 14,026 perjawatan melibatkan kumpulan pelaksana.

"Kita masih kekurangan anggota kerana proses pengambilan sedikit perlahan ketika ini akibat pandemik Covid-19.

"Insya-ALLAH kita akan cari jalan untuk mengisi kekosongan kerana tidak mahu perkhidmatan tergendala atau terencat kerana kekurangan kakitangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat JBPM Johor, di Kangkar Tebrau di sini pada Ahad.

Dr Ismail berharap, menerusi pengisian jawatan itu JBPM dapat memberi perkhidmatan terbaik terutama dalam meningkatkan tempoh masa bertindak (respons time) mengikut standard antarabangsa.

"Selain itu, kita turut menyasarkan kira-kira 30 peratus perjawatan di JBPM diisi oleh wanita kerana terdapat bidang kerja yang memerlukan kelebihan dimiliki mereka.

"Memang matlamat kita untuk memastikan 30 peratus anggota terdiri daripada wanita kerana ada tugas tertentu yang memerlukan kepakaran mereka, disebabkan itu ada tempat ketuanya wanita," katanya.

Sebagai contoh katanya, apabila berlaku insiden yang menyebabkan mangsa wanita berdepan tekanan psikologi, keperibadian dan personaliti, jadi anggota wanita boleh membantu menenangkan mangsa.

"Kita akan lihat di mana tempat kelebihan mereka itu diperlukan dan mereka akan ditugaskan selain anggota lelaki, namun buat masa ini sasaran itu masih belum dicapai," katanya.

Sementara itu, Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis memberitahu, terdapat 174 kekosongan melibatkan pelbagai jawatan di peringkat negeri dan berharap kekosongan itu akan diisi dengan segera.

"Kekosongan ini turut melibatkan anggota yang memikul tanggungjawab selaku Ketua Balai dan Penolong Ketua Balai, jadi kita berharap ia akan dapat dipenuhi bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberi kepada masyarakat," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!