Tok batin, guru jadi idola orang asli suntik vaksin

Jakoa sedia jadikan tok batin dan guru sebagai idola dalam usaha memujuk orang asli untuk terima suntikan vaksin Covid-19 bagi putuskan rantaian jangkitan itu.
Jakoa sedia jadikan tok batin dan guru sebagai idola dalam usaha memujuk orang asli untuk terima suntikan vaksin Covid-19 bagi putuskan rantaian jangkitan itu.
A
A
A

GUA MUSANG - Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sedia menjadikan tok batin dan guru sebagai idola dalam usaha memujuk masyarakat orang asli untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi memutuskan rantaian jangkitan penyakit tersebut.

Ketua Pengarah Jakoa, Sapiah Mohd Nor berkata, kedua-dua individu itu mempunyai aura dan pengaruh yang cukup besar dalam membantu kerajaan menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Jakoa akui ada propaganda dari luar yang cuba mempengaruhi masyarakat orang asli supaya tidak menerima suntikan vaksin.

"Antara yang kita dengar adalah dalam tempoh setahun atau dua tahun selepas terima vaksin, mereka akan meninggal dunia.

"Perkara ini menimbulkan rasa takut dalam kalangan masyarakat orang asli terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

''Sehubungan itu, Jakoa telah menggunakan khidmat tok batin, guru, pegawai-pegawai setempat (Jakoa) untuk memujuk golongan ini," katanya ketika ditemui pada misi vaksinasi masyarakat orang asli di Pos Gob pada Sabtu.

Menurutnya, pujukan itu termasuklah menasihati mereka dengan memberi penerangan tentang kebaikan pengambilan vaksin yang membolehkan mereka bebas bergerak ke mana sahaja.

Tanpa vaksinasi, masyarakat orang asli kata beliau, tidak dibenarkan masuk ke kawasan tertentu termasuklah sekolah dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Sapiah berkata, Jakoa berharap masyarakat orang asli dapat memberi bekerjasama sebaik mungkin demi kebaikan mereka.

"Kalau tidak dapat capai 100 peratus dalam tempoh terdekat ini, sekurang-kurangnya 90 peratus daripada masyakarat orang asli dapat divaksin.

''Kami berharap dapat mencapai sasaran 100 peratus seperti yang ditetapkan oleh kerajaan pada November ini sebaik bekalan vaksin diperoleh," katanya.