JKR syor tambah baik jalan sementara Simpang Pulai-Cameron Highlands

Keadaan jalan runtuh di Laluan Persekutuan FT185, Jalan Simpang Pulai - Blue Valley (Cameron Highlands). (Gambar kecil: Zulkipli)
Keadaan jalan runtuh di Laluan Persekutuan FT185, Jalan Simpang Pulai - Blue Valley (Cameron Highlands). (Gambar kecil: Zulkipli)
A
A
A

IPOH - Laluan Persekutuan FT185, Jalan Simpang Pulai - Blue Valley (Cameron Highlands) seksyen 43.9 akan dilencongkan selepas laluan sepanjang 30 meter itu runtuh pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Zulkipli Nasri berkata, satu perbincangan akan dilakukan untuk menambah baik jalan sementara di lokasi kejadian bagi kegunaan kenderaan ringan.

"Saya lihat tepi ini ada jalan sementara semasa kerja-kerja pembaikan cerun dahulu. Jadi kita akan gunakan jalan ini dan buat penambahbaikan untuk buka kepada kenderaan ringan.

"Kita akan membuat siasatan lanjut dan perbincangan dengan Cawangan Cerun untuk lihat bagaimana metadologi yang akan digunakan.

"Kita cuba beri khidmat kepada pengguna jalan raya khususnya aktiviti ekonomi dan pelancongan yang baharu dibuka, sekurang-kurangnya kenderaan ringan dibenarkan untuk guna jalan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi kejadian bersama Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Saarani (tengah) mendengar penerangan Zulkipli berkaitan kejadian jalan runtuh di laluan Simpang Pulai - Blue Valley (Cameron Highlands).
Saarani (tengah) mendengar penerangan Zulkipli berkaitan kejadian jalan runtuh di laluan Simpang Pulai - Blue Valley (Cameron Highlands).

Menurutnya, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian dan kaedah pembaikan yang akan dilakukan.

Pada masa sama, Zulkipli memaklumkan bahawa kerajaan telah memperuntukkan RM130 juta untuk melakukan penjajaran semula laluan sepanjang 600 meter di lokasi tersebut.

Bagaimanapun katanya, runtuhan jalan berlaku lebih awal akibat hujan berterusan sebelum jajaran semula itu dilaksanakan pada Disember ini.

"Jalan ini akan dijajarkan kerana kalau kita lihat cerun ini terlampau rapat dengan kawasan tepi jalan. Jadi, siasatan tanah dijalankan bagi mengenal pasti jenis tanah sebelum reka bentuk dikeluarkan untuk memperkukuhkan cerun.

"Kita jangka Sijil Setuju Terima kepada kontraktor yang berjaya akan dikeluarkan pada pertengahan Disember nanti. Pembinaan mengambil masa tiga tahun dan jangkaan awal dapat siapkan, diperkukuhkan cerun pada Disember 2024," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan jalan persekutuan tersebut ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan selepas berlakunya jalan runtuh akibat kegagalan cerun pada Sabtu.

JKR Daerah Kinta dalam kenyataan memaklumkan penutupan kedua-dua lorong itu berkuatkuasa bermula jam 9 malam sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.