X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Lelaki ditemui mati dalam kereta terapung di muara sungai

Kerja menaikkan kenderaan yang terjunam ke dalam muara sungai dilakukan oleh anggota bomba di Kampung Batu 7, Sandakan pada Ahad.
A
A

SANDAKAN - [DIKEMAS KINI] Mayat seorang lelaki ditemui dalam kenderaan yang terjunam di muara sungai di Kampung Batu Putih, Batu 7 di sini pada awal pagi Ahad.

Mangsa, Thien Nyuk Kong, 62, ditemui berada di dalam kereta jenis Perodua Bezza yang terapung di sungai berkenaan kira-kira jam 5.30 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada penduduk kampung yang terlihat kenderaan mangsa terapung di muara sungai berkenaan.

"Pihak polis dan bomba yang menerima maklumat bergegas ke lokasi. Hasil pemeriksaan tiada sebarang kerosakan atau berlaku perlanggaran terhadap bahagian kenderaan berkenaan.

"Mayat pula berada di posisi tempat duduk pemandu dan tidak mengalami sebarang kecederaan luaran. Pemeriksaan barang milik mangsa juga didapati tidak hilang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, mayat dibawa ke unit forensik Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

"Kes masih disiasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menyalurkan maklumat kepada pegawai yang mengendalikan kes ini iaitu Inspektor Abdul Nasir Ab Lala di talian 012-8119116," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Misran Bisara berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.44 pagi sebelum kerja menaikkan kenderaan tersebut dilakukan.

"Operasi ditamatkan pada jam 7.58 pagi selepas mayat diserahkan kepada polis," kata beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!