Tidak patuh garis panduan punca tanah runtuh di Kemensah Height

Takiyuddin melawat lokasi kejadian tanah runtuh di Kemensah Height, Ampang hari ini.- Foto Bernama
Takiyuddin melawat lokasi kejadian tanah runtuh di Kemensah Height, Ampang hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pembinaan struktur tambahan yang melanggar undang-undang dan garis panduan dikenal pasti antara punca menyebabkan insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights di sini, Jumaat lepas.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu antara yang dapat dilihat menerusi tinjauan ke lokasi kejadian pada Ahad.

“Setiap pembinaan di lereng bukit atau tempat tinggi sudah ada garis panduannya sendiri di bawah Jabatan Perancang Bandar dan Desa serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya kira masa pembinaan mereka ikut undang-undang, tetapi selepas siap ada pula penambahan dan sebagainya itu yang kadang-kadang di luar pemantauan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam insiden tanah runtuh itu, tiga rumah banglo dan 12 rumah jenis bandar membabitkan 27 keluarga terjejas namun tiada sebarang kemalangan jiwa.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, pihaknya faham ada antara penduduk yang terpaksa membuat pembinaan struktur tambahan berikutan keperluan keluarga yang semakin besar, namun menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

“Tindakan mematuhi undang-undang termasuk undang-undang kecil di pihak PBT perlu dipatuhi supaya tidak berlaku perkara sebegini lagi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, laporan lengkap mengenai insiden itu yang disediakan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dijangka siap esok, akan dijadikan panduan kepada agensi dan jabatan lain untuk membuat tindakan susulan.

“Hasil kajian ini kami akan kemukakan dan seterusnya pihak-pihak berkenaan akan memohon peruntukan dari kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor untuk perkara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:


Sementara itu, Pegawai Daerah Gombak, Nor Azlina Abdul Aziz berkata, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) juga telah diarahkan untuk melakukan pemeriksaan terhadap kawasan cerun dan pembinaan di kawasan Kemensah Heights bagi memastikan ia mematuhi syarat dan peraturan pembinaan.

Sebelum itu, Takiyuddin diberikan taklimat oleh pihak berkuasa dan turut meninjau kesan kerosakan di lokasi tanah runtuh itu yang turut disertai Ketua Pengarah JMG, Hishamuddin Termidi. - Bernama