Wanita selesai jalani kuarantin Covid-19 tergamak bunuh tiga anak

Detik gembira ketika pasangan Dickason itu bersama ketiga-tiga anak mereka. - Foto Agensi
Detik gembira ketika pasangan Dickason itu bersama ketiga-tiga anak mereka. - Foto Agensi
A
A
A

WELLINGTON - Adakah ini benar-benar berlaku? Suara raungan seorang bapa menggemparkan sebuah kawasan kejiranan di New Zealand selepas mendapati tiga anak perempuannya terbunuh di kediaman baharu mereka di Timaru, wilayah Canterbury.

Menurut jiran yang mendengar tangisan pakar bedah ortopedik, Graham Dickason, lelaki itu seperti hilang akal susulan penemuan mayat anak kembarnya, Karla dan Maya yang berusia dua tahun bersama kakak mereka, Liane, 6, ketika kejadian pada malam Khamis lalu.

Susulan insiden menggemparkan itu, isterinya, Lauren, 40, telah dihadapkan ke Mahkamah Daerah Timaru pada Jumaat atas pertuduhan membunuh.

Wanita itu tidak membuat sebarang pengakuan dan kini ditempatkan di unit kesihatan mental sehingga perbicaraan seterusnya di Mahkamah Tinggi Timaru pada 5 Oktober depan.

Hakim Dominic Dravitzki telah mengarahkan laporan di bawah Akta Jenayah New Zealand untuk mengesahkan keadaan kesihatan mental Lauren ketika pembunuhan tersebut.

Pasangan yang telah berkahwin selama 15 tahun itu dilaporkan baru selesai menjalani kuarantin wajib Covid-19 selama 14 hari di sebuah hotel selepas berpindah ke negara itu dari Afrika Selatan.

'Kami terdengar bunyi bising dan esakan Dickason selepas beliau kembali ke rumahnya," ujar jiran mereka, Jade Whaley.

Seorang lagi jiran yang prihatin, Karen Cowper pula berkata, lelaki tersebut meraung seperti diserang histeria dan hanya membisu apabila kami bertanyakan tentang keadaannya.

Artikel Berkaitan:

"Dia terpaksa ditenangkan seorang doktor yang tinggal berhampiran. Polis yang tiba kemudiannya membawa isterinya ke hospital," jelasnya.

Sementara itu, bekas jiran mereka di Afrika Selatan yang enggan identiti didedahkan memberitahu, pasangan itu begitu menyayangi anak mereka.

"Mereka sangat bersyukur kerana dikurniakan tiga zuriat itu berikutan pernah berdepan kesukaran untuk hamil sebelum ini," katanya.

Bekas pengasuh mereka di Pretoria dikenali sebagai Mendy Sibanyoni juga mengesahkan pasangan itu bukan keluarga bermasalah.

Setakat ini, punca kematian ketiga-tiga anak pasangan itu tidak didedahkan. - Agensi