PSG nafi bayar gaji Messi RM146 juta setahun

Messi
Messi
A
A
A

PARIS Saint Germain (PSG) menafikan kelab itu memberikan gaji sebanyak 30 juta Euro (RM146 juta) setahun kepada Lionel Messi seperti dilaporkan oleh akhbar Perancis, L'Equipe.

Kelab Perancis itu juga menafikan Messi akan mendapat tambahan 10 juta Euro menjadikan gajinya 40 juta Euro (RM 195 juta) pada tahun berikutnya dan jumlah sama sekiranya melanjutkan kontrak untuk tahun ketiga.

Pengarah Sukan PSG, Leonardo Araujo berkata, kelab itu kecewa dengan laporan tersebut yang tidak benar namun tidak boleh mendedahkan nilai sebenar kerana ia adalah klausa sulit.

"Kami tidak dapat menerima laporan seperti disiarkan L'Equipe. Saya ingin memberitahu bahawa ia tidak betul, tidak boleh diterima dan ia salah.

"Akhbar tersebut tidak menghormati kami dan kami tidak sukakannya. Saya juga tidak faham kenapa berita itu dikeluarkan pada masa ini.

"Ia juga jauh jauh daripada perkara sebenar terutama tempoh kontrak dan angka gaji tersebut. Klausa tersebut adalah rahsia tetapi saya boleh katakan ia tidak benar. Tempoh kontrak juga hanya dua tahun dan tiada syarat untuk menyambung kontrak Messi," katanya.

Messi menyertai PSG daripada Barcelona pada jendela perpindahan musim panas lalu selepas kelab Catalan tersebut gagal memberikan kontrak baharu kepada pemain berusia 34 tahun itu susulan masalah kewangan.

Pemain kelahiran Argentina itu juga sudah tampil dua kali bersama PSG dan berada dalam kesebelasan utama pasukan ketika bertemua Club Brugge dalam saingan Liga Juara-Juara, namun masih gagal menjaringkan sebarang gol bersama kelab tersebut.

Artikel Berkaitan: