Pemaju perlu kemuka EIA sebelum aktiviti di cerun

Antara gambar yang dimuat naik pengguna Twitter menunjukkan kerja penerokaan dan sebuah jentera berat berada di kawasan Bukit Tabur. - Foto Twitter
Antara gambar yang dimuat naik pengguna Twitter menunjukkan kerja penerokaan dan sebuah jentera berat berada di kawasan Bukit Tabur. - Foto Twitter
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengingatkan pemaju yang ingin menjalankan pembinaan di kawasan cerun supaya menjalankan kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, antara ketetapan yang yang perlu dipatuhi ialah aktiviti pembangunan atau pembersihan tanah meliputi kawasan yang kurang daripada 50 peratus kawasan cerun melebihi atau sama dengan 25 darjah tetapi kurang daripada 35 darjah.

Menurutnya turut diambil kira ialah pembangunan atau pembersihan tanah yang meliputi 50 peratus atau lebih kawasan yang berkecerunan lebih daripada atau sama dengan 25 darjah tetapi kurang daripada 35 darjah.

“Ia juga meliputi pembinaan jalan, terowong atau jambatan yang melintasi kawasan cerun yang berkecerunan melebihi atau sama dengan 35 darjah,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Beliau sebelum itu melakukan pemeriksaan tapak di kawasan kerja-kerja pembersihan tanah dan penebangan pokok di kawasan cerun di Bukit Tabur, Hulu Kelang pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar.

Wan Abdul Latiff berkata, hasil lawatan mendapati kerja-kerja tanah dihentikan susulan arahan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 11 September lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan tapak dan pemerhatian menggunakan dron mendapati tiada sebarang langkah kawalan hakisan serta sedimen di kawasan cerun yang ditereskan oleh pemaju.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Wan Abdul Latiff berkata, JAS akan mengambil tindakan tegas kepada pihak didapati menjalankan aktiviti tanpa sebarang kelulusan Laporan EIA seperti yang tertakluk di dalam Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“JAS ingin mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat berhubung isu ini.

“Orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau emel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e- aduan JAS di eaduan.doe.gov.my,” katanya.