Pelancongan domestik jadi pilihan rakyat dalam tempoh endemik

Kumpulan yang berkolaboratif dalam projek jejak warisan di Bachok berkenaan. (Gambar kecil: Hafiz)
Kumpulan yang berkolaboratif dalam projek jejak warisan di Bachok berkenaan. (Gambar kecil: Hafiz)
A
A
A

BACHOK - Pelancongan domestik dilihat menjadi keutamaan rakyat Malaysia untuk melancong dalam tempoh endemik.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin berkata, tempoh itu juga sesuai untuk semua pihak bergabung tenaga mengetengahkan dan memperkenalkan produk pelancongan baharu yang masih belum dikenali ramai.

"Sementara menunggu pintu antarabangsa dibuka cara ini juga membantu memberi banyak pilihan kepada rakyat Malaysia untuk bercuti dalam negara sendiri.

"Tambahan lagi dalam tempoh penularan pandemik Covid-19, saya rasa ramai rakyat yang mengambil keputusan untuk ke lokasi yang tidak sesak bagi memastikan keselamatan mereka kekal terjamin," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Hafiz sebelum itu menyertai Program 'Test Run' Projek Pilot Jejak Warisan Bachok di Sudara Beach Resort diketuai Pensyarah Fakulti Tekonologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang bertindak sebagai Pengerusi program, Profesor Madya Ahmad Tarmizi Azizan.

Turut hadir, rakan kolaboratif, Ketua Jajahan Bachok, Mohd Farid Abdul Razak; Pengerusi Persatuan Warisan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (Waspada); Mohd Asri Husin, Ketua Penolong Setiausaha (Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan), Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan, Norhalis Mohamed Noor dan Adun Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin.

Tambah Hafiz, pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama pihak yang dapat membantu kerajaan meneroka lokasi menarik yang baharu di Malaysia.

Mengulas mengenai Program 'Test Run' Projek Pilot Jejak Warisan Bachok, Profesor Madya Ahmad Tarmizi memberitahu, sebanyak 15 lokasi menarik dikenal pasti di kawasan Bachok dan lapan daripada mempunyai nilai sejarah, warisan dan budaya tersendiri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, program jejak warisan tersebut sebenarnya mempunyai objektif tersendiri bagi memastikan warisan dan kebudayaan negeri ketengahkan kembali dalam konteks pelancongan supaya tidak hilang begitu sahaja.

"Pada masa sama kita turut menjaga nilai warisan Islam itu sendiri. Apabila ada potensi, maka kita kembangkan lagi," katanya.