Bekas ADUN Kunak meninggal dunia akibat Covid-19

Nilwan meninggal dunia di sebuah hospital swasta pada awal pagi Ahad.
Nilwan meninggal dunia di sebuah hospital swasta pada awal pagi Ahad.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Nilwan Kabang meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini, pada awal pagi Ahad.

Nilwan, 71, dilaporkan menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 3.45 pagi selepas sebulan dirawat di hospital itu akibat jangkitan Covid-19.

Nilwan yang juga Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah, menjadi ADUN Kunak selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan sekali lagi mempertahankan kerusi pada PRU 2013.

Beliau bagaimanapun tewas di tangan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Norazlinah Arif pada PRU 2018 dan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 pada September tahun lalu beliau tidak bertanding.

Sepanjang karier politiknya, Allahyarham pernah menjadi Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman selepas memenangi PRU 2013.

Kenalan Allahyarham menyifatkan beliau seorang pemimpin yang mempunyai perwatakan sederhana dan disenangi serta mudah didekati masyarakat.

Beliau juga adalah pemimpin politik veteran yang bermula dari era Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) sebelum menyertai UMNO apabila parti itu mengembangkan sayap ke Sabah pada 1990.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raimie Unggi berkata, pengebumian jenazah Allahyarham diuruskan Kementerian Kesihatan (KKM) dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu, Putatan.

Artikel Berkaitan:

Rakyat Sabah sebelum ini turut dikejutkan dengan kehilangan dua tokoh veteran politik di negeri ini iaitu bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Lajim Ukin yang juga disebabkan akibat jangkitan Covid-19.