Shaiful Wazizi tidak mahu persiakan peluang

Shaiful Wazizi.
Shaiful Wazizi.
A
A
A

PENJAGA gol muda Sarawak United, Shaiful Wazizi Mohammad bertekad tidak akan mensia-siakan peluang sekiranya diturunkan dalam perlawanan terakhir Liga Premier menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) II, pada Selasa depan.

Shaiful akan menjadi taruhan baharu The Crocs untuk mengawal gawang pasukan selepas penjaga gol utama, Sharbinee Allawee tidak dapat diturunkan susulan kad merah yang diperoleh pada aksi menentang Negeri Sembilan FC tempoh hari.

Malah menurut Shaiful, penampilan dalam perlawanan terakhir liga itu bukan satu tekanan, sebaliknya menjadi motivasi apabila merupakan penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama.

“Secara peribadi, saya tak rasa tertekan pun apatah lagi ini adalah aksi penentuan untuk Sarawak United merebut trofi kejuaraan liga.

“Ini juga mungkin penampilan pertama saya dalam kesebelasan utama, jadi sudah tentu ini adalah peluang keemasan untuk membuktikan yang saya mampu untuk beraksi.

“Saya anggap JDT II memang bukan mudah dan sebagai pelawat, kami akan cuba beri terbaik di mana saya anggap ini sebagai satu tanggungjawab dan cabaran yang tinggi apabila diberi kepercayaan.

“Ketua jurulatih (E Elavarasan) juga sudah mempersiapkan satu pasukan yang rapi dan dengan motivasi yang ada pada kami sekarang ini, saya percaya kami akan dapat lakukan tugas dengan cemerlang,” jelas pemain berusia 23 tahun tersebut.

Pada masa sama, Shaiful tidak menolak turut menerima banyak tunjuk ajar dan motivasi daripada Sharbinee menjelang perlawanan di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut Shaiful, ini kerana babak-babak penting dalam waktu kritikal akan sering berlaku terutamanya apabila membabitkan perlawanan yang menjadi tumpuan seperti ini.

“Aksi lepas sewaktu menentang Negeri Sembilan banyak mengajar kami semua untuk lebih memberi fokus dalam apa jua keadaan kerana mungkin sebab kelekaan pada penghujung perlawanan telah menghukum kami.

“Saya boleh katakan ini akan menjadi pengalaman berharga untuk saya sekiranya kita berjaya menjulang trofi di mana saya menjadi sebahagian daripada pemain yang turut beraksi,” ujarnya.

Untuk rekod, Sarawak United ketika ini berada di kedudukan kedua liga, hanya dibezakan satu mata sahaja dengan Negeri Sembilan FC yang menerajui liga sekali gus bakal menyaksikan perebutan yang sengit untuk menjulang kejuaraan Liga Premier.