X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

14 ditahan masuk hutan simpan tanpa permit

Antara kenderaan yang disita bagi membantu siasatan berhubung pencerobohan kawasan Hutan Simpan Petuang, di Hulu Terengganu tanpa permit, pada Sabtu.- Foto ihsan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu
A
A

HULU TERENGGANU - Seramai 14 lelaki berusia antara 20 hingga 65 tahun ditahan bagi proses siasatan selepas didapati memasuki kawasan Hutan Simpan Petuang tanpa permit, pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, Roslan Rani berkata, kesemua lelaki tempatan itu dikesan berada di lokasi berkenaan bersama 14 buah kenderaan pacuan empat roda sekitar jam 11.30 pagi.

Menurutnya, kumpulan berkenaan dikesan pasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Terengganu bersama anggota Pejabat Hutan Daerah Terengganu Barat yang menjalankan operasi di lokasi berkenaan.

"Kenderaan terbabit turut disita bagi siasatan lanjut oleh pihak Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu," katanya kepada Sinar Harian, pada Ahad.

Tambah beliau, mereka akan disiasat di bawah Seksyen 47 (1) (c) Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986 Negeri Terengganu dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Roslan menegaskan mana-mana individu dilarang mencerobohi hutan simpan sewenang-wenangnya tanpa sebarang permit.

"Hutan simpan kekal merupakan hutan tertutup yang tidak boleh diceroboh sewenang-wenangnya bagi apa-apa tujuan melainkan jika mempunyai kebenaran daripada pihak berkuasa negeri," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!