Puisi berimpak tinggi

Penulis bersama Latiff Mohidin dan U-Wei Shaari ketika acara 'Latiff Mohidin Rempah Ratus: A Poetry Reading' di Menara Maybank, Kuala Lumpur pada 28 Ogos 2016.
Penulis bersama Latiff Mohidin dan U-Wei Shaari ketika acara 'Latiff Mohidin Rempah Ratus: A Poetry Reading' di Menara Maybank, Kuala Lumpur pada 28 Ogos 2016.
A
A
A

ACAP kali muncul perbezaan antara manusia dengan konflik dalam diri insaniah. Manusia kerap kali cuba membayangkan siapa diri mereka dan cuba menyelaraskan perbezaan antara kehendak dengan aspirasi, seterusnya mengaitkan pula kehendak dan aspirasi diri mereka dengan orang lain.

Berbeza pula dengan hubungan manusia dan Tuhan yang boleh dilihat dari beberapa aspek seperti imej manusia yang mencari makna diri dan ketuhanan.

Alam yang mendasari kehidupan manusia semestinya tidak dapat dipisahkan antara kedua-duanya. Kehidupan manusia dilingkungi alam semesta yang tidak terbatas dan unsur-unsur alam ini sering menjadi sumber inspirasi dalam pengkaryaan.

Hubungan manusia dengan manusia dan manusia dengan alam dalam konteks mencari makna diri dan ketuhanan akan memperlihat beberapa konflik yang sering timbul seperti penyatuan manusia dengan alam, penaklukan manusia terhadap alam, kehambaan manusia dengan nikmat alam dan juga kebobrokan alam akibat kerakusan manusia.

Dalam membicarakan puisi berimpak tinggi, sudah pasti kedua-dua unsur hubungan manusia ini tidak dapat dielakkan kerana fungsi kejadian manusia juga adalah untuk beribadah kepada Pencipta dan memberikan sebanyak mungkin kebaikan kepada makhluk lain sebagai lambang ketaatan kepada Pencipta.

Maka, perkara yang dapat dilihat dari hubung kait ini ialah perkara yang sentral, dominan serta kesatuan pemikiran dan mesej kehadiran penyair terhadap diri sendiri dan khalayak.

Penyair sebagai entiti masyarakat sudah pasti turut terikat dengan kelaziman dan rumpun budaya masyarakat keseluruhan. Ada yang beranggapan kelompok penyair merupakan manusia yang hidup dalam kokun pemikiran dan luar kebiasaan manusia biasa.

Lebih suka menyendiri atas alasan kesendirian itu lebih memberikan idea dan ilham untuk berkarya. Benarkah tanggapan ini? Secara peribadi saya menolak tanggapan ini kerana bagaimana seorang penyair atau penulis mampu memberikan manfaat kepada khalayak jika dia sekadar hidup untuk dirinya sendiri dan tidak menyantuni orang lain dalam situasi dan realiti kehidupan sebenar?

Artikel Berkaitan:

Tanggungjawab

Sesetengah penyair dan penulis berfikiran bahawa sudah cukup karya-karya mereka sahaja yang menyantuni masyarakat dan memadailah mereka sekadar hidup di kamar-kamar sunyi dan rumah keabdian sendiri.

Tanggungjawab mereka hanya menulis dan karya merekalah yang dibiarkan hidup dalam kalangan masyarakat. Adakah situasi ini benar-benar berlaku dalam lingkungan panggung penulisan, waima sebelum merdeka sehinggalah sekarang?

Menyedihkan sekiranya masih ada kelompok penulis dan penyair yang mengikat pemikiran mereka dengan tali minda sesempit itu.

Jika dihalusi secara rinci, karya mereka mungkin hidup dalam kalangan masyarakat sekiranya mereka merupakan penulis agung yang sentiasa ditunggu-tunggu karyanya. Namun dalam realiti sebenar, seberapa ramai wujudnya kelompok penulis dan penyair agung sebegitu?

Jika di negara kita, sosok kepenyairan Latiff Mohidin sentiasa ditunggu-tunggu kemunculan karyanya meskipun sudah bertahun-tahun beliau memencilkan diri untuk terlibat dengan khalayak.

Kali terakhir saya bertemu dengan penyair besar negara ini pada 28 Ogos 2016 di Menara Maybank Kuala Lumpur dalam satu program kesusasteraan. Dalam program berjudul “Latif Mohidin Rempah Ratus: A Poetry Reading”, Latiff Mohidin membacakan beberapa sajaknya dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Secara jujurnya sebagai peminat dan penyair yang rindu akan aroma puisinya, setiap diksi dan bait-bait katanya yang lembut persis mantera membungkam sunyi khalayak. Beliau seumpama Sang Pertapa yang baru keluar dari gua tafakur dan kepulangannya dalam tempoh bertahun-tahun sentiasa dinantikan khalayak.

Masih wujudkah penulis dan penyair lain yang mempunyai aura sebegini? Bukan semua penyair mampu menjadi penyair agung seperti Latiff Mohiddin malahan jika dilihat senario negara dan dunia dalam kondisi walang sebegini, sasterawan-sasterawan negara seperti Zurinah Hassan, Siti Zainon Ismail, Muhammad Haji Salleh dan Anwar Ridhwan begitu kerap muncul menyantuni dan mengakrabi khalayak dalam pelbagai acara yang diadakan secara maya.

Sikap sebegini sewajarnya dikagumi kerana kelompok sasterawan negara tidak meletakkan diri mereka dalam kalangan ‘dewa-dewa’ yang mengakibatkan peranan dan fungsi sastera untuk masyarakat semakin terpinggir dan terhakis.

Terkongkong

Bagaimanakah sesebuah karya mampu menghasilkan impak yang tinggi kepada pembaca sekiranya kelompok penulis sendiri masih terkongkong dalam pemikiran yang jumud dengan bersandarkan gah nama semata-mata.

Pemikiran hanya diluahkan ke dalam kertas dan menjadi sebuah longgokan buku tanpa memikirkan bagaimana karya itu perlu sampai kepada pembaca.

Tanggungjawab itu diserahkan bulat-bulat kepada pihak penerbitan. Sikap sebeginilah yang menenggelamkan kewujudan mereka berbanding penulis-penulis yang agak mesra khalayak.

Peranan dan tanggungjawab penulis sudah jauh berubah. Penyair dan penulis bukan sekadar menulis, namun di bahu merekalah menentukan strategi bagaimana buku itu perlu sampai kepada khalayak dan tidak semata-mata bergantung kepada rumah penerbitan sahaja.

Pelibatan penulis dalam aktiviti-aktiviti dan kegiatan sastera, pertubuhan dan persatuan sastera memberikan satu kelebihan kepada penulis untuk memperkenalkan dan menjual karya berbanding penulis yang hanya bergerak secara solo atau bersendirian.

Terdapat banyak faktor yang mengikat manusia dalam satu kelompok kebersamaan. Kejayaan dan impaknya pula bergantung kepada “will power” atau kemahuan untuk melaksana dan menjayakannya.

Namun asasnya berkisar kepada inti yang sama iaitu hasrat supaya karya yang ditulis mampu sampai kepada khalayak dan memberi kesan terhadap pembaca waima perubahan personal mahupun masyarakat.

Perubahan atau impak itu tidak semestinya dimunculkan dalam skala yang besar seperti perubahan ketara tingkah laku dan perwatakan atau gelombang revolusi masyarakat, cukuplah jika pembaca mampu menterjemahkannya sebagai pencetus kesedaran dan jati diri secara intrapersonal dan interpersonal.

Sesebuah karya yang berimpak tinggi tidak sewajarnya hanya terperuk di dada kertas. Puisi yang berimpak tinggi mampu menjadi kata-kata sakti yang hadir dalam pelbagai situasi, terkadang menjadi terapi dan penyuluh sunyi, terkadang menjadi bara api dan tirani teguh jati diri.

* Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Penyair Malaysia