Sathianathan sifatkan hukuman adil

Sathianathan
Sathianathan
A
A
A

KEPUTUSAN Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggunakan Artikel 35 Kod Tatatertib FAM melibatkan hukuman penggantungan 12 bulan selain denda RM10,000 terhadap Ketua Jurulatih Sarawak United, E Elavarasan sifatkan sebagai keputusan yang adil.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, tindakan itu juga keputusan yang baik dalam usaha memastikan seseorang jurulatih masih dapat meneruskan tugas seperti biasa, tetapi juga berada di bawah pemantauan dan pengawasan teliti.

“Saya sudah baca apa yang terkandung dalam keputusan daripada pihak jawatankuasa itu. Betul, Elavarasan digantung 12 bulan, tetapi kalau ikut Artikel 35 tu, dia masih boleh melatih pasukan, boleh duduk di bangku pemain.

“Bagi saya, keputusan FAM itu keputusan yang adil. Selain tidak menjejaskan karier Elavarasan, keputusan itu sebenarnya memberikan amaran yang serius supaya dia tidak mengulangi lagi kesilapan pada masa depan dan dalam 12 bulan, kenalah berkelakuan baik, tak bising buat kenyataan sana sini.

“Ini sesuatu yang bagus. Kalau macam dulu saya kena, sampai hilang kerja. Tapi sekarang, keputusan ini berikan ruang kepada jurulatih. Bagus macam tu kerana tidak berikan kesan kepada kontrak dan sebagainya,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga pemain, tiga pegawai Sarawak United digantung, didenda

Jawatankuasa dipengerusikan Datuk Baljit Singh Sidhu sebelum itu mengenakan penggantungan dan denda terhadap tiga pemain dan tiga pegawai The Crocs termasuk Elavarasan susulan insiden di Cheras semasa aksi Liga Premier menentang Negeri Sembilan,10 September lalu

Sementara itu, Sathianathan menyifatkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM kali ini sebagai satu keputusan yang positif dan tidak wajar dipertikaikan.

Jelasnya, sekiranya terdapat pihak yang mempertikaikan hukuman yang lebih kepada tujuan pengawasan, mereka juga perlu melihat kepada hukuman yang dikenakan kepada dua lagi pegawai dan tiga pemain Sarawak United lain.

Artikel Berkaitan:

“Kalau ada yang pertikaikan hukuman ke atas Elavarasan yang menggunakan Artikel 35 Kod Tatatertib FAM, mereka patut lihat hukuman yang dikenakan kepada pemain dan pegawai lain, macam Sharbinee, teruk juga, kan? Apa pun, secara keseluruhannya, saya tengok, ini adalah keputusan yang baik daripada FAM,” katanya.