Tanah runtuh: Pantau secara berkala kawasan berisiko

Keadaan beberapa kediaman penduduk yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Height ketika tinjauan pada Sabtu. - Foto Bernama
Keadaan beberapa kediaman penduduk yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Height ketika tinjauan pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

INSIDEN kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, Ampang mengejutkan ramai pihak pada Jumaat.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 9.33 malam itu, sebanyak tiga buah rumah banglo dan 12 rumah jenis bandar membabitkan 27 keluarga keluarga terjejas.

Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, runtuhan tanah itu dipercayai akibat pergerakan aliran air bawah tanah selepas hujan lebat di kawasan itu.

Terbaharu, kawasan di Kemensah Heights diisytiharkan sebagai kawasan bencana berikutan kesemua kawasan terjejas tidak selamat untuk dihuni.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh: Kemensah Heights diisytihar kawasan bencana

Kejadian di Jalan Kemensah Heights, Ampang ini bukan satu-satunya kejadian yang berlaku pada minggu ini.

Ini kerana terdapat beberapa kejadian tanah runtuh lain berlaku seperti di Jalan Sungai Palas, Cameron Highlands.

Dalam kejadian tersebut dilaporkan seorang maut tertimbus runtuhan tanah dan seorang lagi cedera.

Artikel Berkaitan:

Turut tidak terkecuali apabila murid-murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Chuping, Perlis perlu memulakan sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mata Ayer buat sementara berikutan kawasan sekolah berkenaan disahkan tidak selamat untuk diduduki.

SK Chuping juga telah digazetkan sebagai lokasi tidak selamat berikutan terdapat mendapan di kawasan padang sekolah dan boleh mengundang risiko kepada murid-murid.

Insiden membabitkan tanah runtuh dan mendapan tanah ini seharusnya tidak diambil enteng oleh pihak berwajib.

Seharusnya perlu ada pemantauan berkala terhadap kawasan-kawasan berisiko khususnya yang berpenghuni atau mempunyai penduduk bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini menimpa.

Pemantauan berkala ini boleh dilakukan dengan membuat rondaan apabila berlakunya kejadian hujan lebat di kawasan-kawasan terbabit.

Selain itu, sebelum membina kediaman atau bangunan, disarankan juga untuk menyemak keadaan tempat atau kawasan dan lokasinya terlebih dahulu.

Pihak pemaju perumahan atau kediaman juga perlu mengambil kira faktor keselamatan sebelum mahu membina rumah.

Perkara-perkara seperti ini seharusnya diambil kira semua pihak bagi mengelakkan berlakunya kehilangan nyawa kelak akibat kejadian tanah runtuh atau mendapan tanah.