Ramai peniaga 'online' tak bayar cukai - LHDN

A
A

KOTA BHARU - Masih ramai peniaga dalam talian di Kelantan tidak membayar cukai jualan masing-masing walaupun menjana sejumlah pendapatan yang boleh dikenakan cukai.

Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kelantan Shaufee Salleh berkata, keadaan itu dipengaruhi pelbagai faktor termasuk peniaga tidak mempunyai maklumat atau pendedahan yang betul atau mengambil mudah berhubung pembayaran cukai.

“Cukai pendapatan ke atas perniagaan dalam talian bukan suatu perkara baru, ia adalah jenis cukai pendapatan yang sama dikenakan ke atas para peniaga konvensional,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang media Program Khas Pengakuan Sukarela dan Isu Percukaian Perniagaan Atas Talian yang akan diadakan pada 11 Mac ini yang turut dihadiri Presiden Dewan Perniagaan China Kelantan Yap Heng Or.

Bagaimanapun Shaufee tidak mendedahkan jumlah peniaga atas talian yang tidak menjelaskan cukai atau yang dikenakan penalti.

Menurut Seksyen 4 Akta Cukai Pendapatan 1967, pendapatan suatu perniagaan layak dikenakan cukai pendapatan setelah mengambil kira semua perbelanjaan layak dibenarkan dalam perniagaan dan pelepasan cukai layak dituntut oleh peniaga tersebut.

Bagi perniagaan dalam talian yang dijalankan individu, cukai pendapatan mereka akan mengikut kadar cukai pendapatan individu bermula dari kosong peratus sehingga 28 peratus (mulai Tahun Taksiran 2016).

Dalam pada itu Yap berkata, program tersebut diadakan pada Isnin bermula jam 2.30 petang bagi memberi pendedahan kepada semua peniaga terutama peniaga atas talian berhubung percukaian secara atas talian.

“Kita mengambil inisiatif ini kerana ramai peniaga masih tidak mempunyai maklumat yang jelas berhubung cukai bagi jualan atas talian. Kita harap ramai peniaga dapat hadir pada program tersebut yang disediakan secara percuma.

"Peniaga yang secara sukarela membuat pengakuan pada hari tersebut juga akan hanya dikenakan penalti cukai serendah 10 peratus,” katanya.

Program tersebut dijangka akan dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Sri Sabin Samitah dan antara panel yang akan memberikan taklimat termasuk Ahli Majlis Institut Percukaian Malaysia Chow Chee Yen. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia