X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

Mencari kepentingan minoriti India

Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
RANCANGAN Malaysia ke-12 (RMK12) dan pembentangannya dijadualkan bakal berlangsung pada tanggal 27 September ini di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.

Sejarah pelaksanaan RMK pertama bermula pada 1970 dan lebih 50 tahun telah berlalu, negara di bawah variasi tampuk kepimpinan mentadbir serta mengimplementasikan pelan-pelan pembangunan nasional untuk membina dan membentuk Malaysia hari ini.

Di dekad baharu tahun 2021 ini, RMK12 akan dibentangkan untuk melaksanakan pelan pembangunan nasional bertempoh selama lima tahun (2021 hingga 2025) dengan berasaskan tiga dimensi iaitu pemerkasaan ekonomi, kemampanan alam sekitar dan kerekayasaan sosial.

Ketiga-tiga dimensi tersebut adalah untuk menjajarkan inisiatif kemakmuran bersama negara bagi memastikan pembangunan sosio-ekonomi inklusif dan mewujudkan masyarakat lebih makmur.

Dimensi pemerkasaan ekonomi di dalam RMK12 meliputi sumber dan pertumbuhan bidang baharu seperti Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), ekonomi digital, industri aeroangkasa, pembangunan wilayah bersepadu dan sumber tenaga mampan serta kesalinghubungan infrastruktur.

Seterusnya, dimensi kemampanan alam sekitar pula akan mengambil kira mengenai ekonomi biru, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan adaptasi serta mitigasi perubahan iklim.

Sementara itu, dimensi perekayasaan sosial bertumpu kepada meningkatkan nilai-nilai murni sosial, menambah kuasa beli rakyat jelata, membentuk masyarakat bumiputera berdaya tahan, pengukuhan jaringan keselamatan sosial dan memperbaiki kesejahteraan rakyat.

RMK12 disediakan dengan mempertimbangkan pelbagai agenda pembangunan nasional itu turut mengambil berat tentang kemajuan dan kebajikan kaum minoriti agar jurang antara rakyat majoriti serta minoriti bersifat seimbang demi melahirkan Malaysia sebagai negara maju kelak.

Menurut akhbar harian Tamil, Malaysia Nanban bahawa kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) sedar akan keperluan input kaum minoriti India dalam penyediaan RMK-12 telah memperoleh cadangan-cadangan bernas daripada pelbagai pihak berkepentingan.

Misalnya, Jawatankuasa Penasihat RMK-12, Pusat Khidmat Masyarakat Klang, Concerned UM Indian Graduates (CUMIG), Transformasi Ekonomi India Malaysia (MIET), Badan Pemikir Ekonomi India dan pengamal kebajikan sosial.

Dalam pada itu, sebahagian daripada masyarakat India mengerti kepentingan perkenalan RMK12 itu telah tampil mengambil inisiatif dalam menyalurkan idea-idea secara individu mahupun melalui pertubuhan supaya generasi semasa dan akan datang menikmati manfaat daripada usaha mereka itu.

Malaysia Nanban menyatakan bahawa bagaimanapun tiada parti politik dalam masyarakat India telah berkehadapan untuk mengumpul input penting daripada orang awam bagi memberi cadangan mereka untuk RMK12 tersebut.

Namun, ini bukan masa sesuai untuk menuding jari dan mencari kesilapan parti-parti politik India sebaliknya perlu berasa syukur dengan kesedaran yang lahir dalam kalangan masyarakat India mengenai RMK12 serta berani bersuara memberi cadangan mereka dalam penyediaan pelan pembangunan nasional berkenaan.

Akhbar harian itu berkata, sejajar dengan konteks ‘Keluarga Malaysia’ yang didukung pihak kerajaan semasa adalah amat penting memberi peluang saksama kepada semua lapisan masyarakat menyuarakan hak dan tanggungjawab masing-masing dalam perancangan nasional negara.

Di negara ini, kaum minoriti India mewakili hanya sebanyak tujuh peratus daripada keseluruhan populasi iaitu lebih 32 juta orang.

Bagaimanapun, di 38 daerah dan 62 kawasan Parlimen masyarakat India memiliki lebih daripada 10 peratus pengundi dan penduduk berdaftar. Kadar 10 peratus itu dianggap sebagai satu angka cukup besar dan berkuasa bagi masyarakat India memberi perubahan besar dalam segala perancangan serta agenda pembangunan negara.

Malaysia Nanban juga menekankan bahawa oleh sebab masyarakat India mempunyai kepentingan sebagai pengundi dan penduduk berdaftar serta dari segi aspek politik, ekonomi, sosial, agama, kepakaran dan kebudayaan maka komuniti minoriti itu boleh bersuara lantang menuntut hak dalam setiap RMK yang akan datang.

RMK12 yang bakal dibentangkan itu telah mendapatkan input dan cadangan merangkumi enam bahagian daripada kaum minoriti India bagi mengimbangi rancangan negara dalam meneruskan usaha pembangunan sebaliknya memulihkan kembali keadaan Malaysia agak lumpuh gara-gara krisis pandemik Covid-19.

Pembentangan RMK12 pada kali ini diharap dapat memberi transformasi cukup baik kepada masa depan kaum minoriti India di Malaysia dan taraf kehidupan golongan B40 dan M40 akan diperbaharui serta nasib belia India terus terbela dengan peluang pendidikan dan pekerjaan melalui pelan kebangsaan lima tahun itu.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!