Brentford sengat Wolves di Molineux

Toney meletakkan The Bees di depan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-28. - Foto Brentford FC
Toney meletakkan The Bees di depan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-28. - Foto Brentford FC
A
A
A

BRENTFORD melakar kemenangan di laman lawan buat pertama kali di saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun bermain 10 pemain pada babak kedua apabila mengejutkan Wolverhampton Wanderers 2-0 di Stadium Molineux.

The Bees yang dinaikkan pangkat dari Liga Kejuaraan sebelum itu mengejutkan kelab London, Arsenal 2-0 dalam perlawanan pembuka tirai di Stadium Komuniti Brentford pada 14 Ogos lalu.

Ivan Toney terlebih dulu meletakkan pelawat di depan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-28 setelah dikasari pemain Wolves, Marca untuk mendahului sebelum Bryan Mbeumo melebarkan jaringan pada minit ke-34.

Bersambung babak kedua, anak buah Thomas Frank terus agresif apabila mengasak skuad kendalian Bruno Lage, namun pelawat terpaksa bertahan setengah jam terakhir apabila Shandon Baptiste diarah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua.

"Kami melakukannya dengan baik di babak pertama dan hampir dapat menjaringkan lebih banyak gol, namun pada babak kedua kami menunjukkan watak kami yang sebenar.

"Di saingan Liga Perdana Inggeris, anda harus mematikan perlawanan apabila anda mendapat peluang. Saya fikir kami layak mendapat tiga mata pada akhirnya," kata Toney.

Keputusan itu menyaksikan Brentford mengumpul lapan mata manakala Wolves pula tiga mata selepas masing-masing mengharungi lima perlawanan liga.

Artikel Berkaitan: