Sabah benarkan 10 operasi, aktiviti individu lengkap divaksin

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah membenarkan 10 operasi dan aktiviti bagi individu yang lengkap divaksin bermula Isnin ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap Covid-19 itu berkata, aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal melibatkan pengoperasian fasiliti terbuka dan tertutup dibenarkan, selain aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik dan zumba dibenarkan dalam fasiliti dengan 50 peratus kapasiti atau tidak melebihi 30 orang, mana-mana lebih rendah.

Beliau berkata, aktiviti 'hiking' dengan kapasiti 50 peratus atau tidak melebihi 30 orang di sesebuah kawasan juga dibenarkan, selain operasi pusat latihan maritim serta pusat latihan penerbangan.

“Kolam memancing juga dibenarkan dari 6 pagi hingga 6 petang dengan kapasiti sama, juga dibenarkan aktiviti kapal persiaran domestik di perairan Sabah dengan kapasiti 50 peratus. Bagaimanapun, semua aktiviti kelab malam dan pub masih tidak dibenarkan.

“Turut dibenarkan mesyuarat secara bersemuka dengan kapasiti sama dan pengoperasian pejabat swasta, mengikut pekerja yang telah divaksin,” katanya menerusi kenyataan malam Sabtu.

Selain itu, Masidi berkata, operasi kilang dan kedai minuman keras turut dibenarkan dan semua institusi pengajian tinggi di bawah kawal selia Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan dibuka secara berperingkat.

Mengulas kes Covid-19 pada Sabtu, sebanyak 1,395 kes dicatat dengan jumlah kumulatif 184,221 kes manakala kes sembuh ialah 1,775 orang dengan jumlah kumulatif 158,502 orang manakala 4,203 pesakit masih dalam rawatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: