Maritim temukan mayat dipercayai pekerja kelong jatuh laut

Maritim Malaysia Selangor mengesahkan penemuan mayat dipercayai seorang daripada pekerja kelong yang terjatuh ke laut tiga hari lepas. - Foto Bernama
Maritim Malaysia Selangor mengesahkan penemuan mayat dipercayai seorang daripada pekerja kelong yang terjatuh ke laut tiga hari lepas. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor mengesahkan penemuan mayat dipercayai seorang daripada pekerja kelong yang terjatuh ke laut tiga hari lepas.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, mayat lelaki berkenaan ditemukan oleh orang ramai lebih kurang jam 7.30 pagi Sabtu pada kedudukan sekitar lebih kurang 0.1 batu nautika timur Pulau Tengah dekat sini.

Beliau berkata, berdasarkan pengecaman awal oleh majikan kelong, dipercayai mangsa adalah warga Indonesia berusia 34 tahun dikenali sebagai Priadi.

“Mangsa dilaporkan telah jatuh ke laut bersama seorang lagi mangsa yang masih belum ditemukan iaitu Saw Bearry Htoo, 30, warga Myanmar.

“Kedua-dua mangsa kali terakhir dilihat memakai baju KS Aquaculture berwarna putih dengan seluar berwarna biru sebelum dilaporkan hilang di laut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Rosli berkata, mayat dibawa ke Jeti Pulau Ketam bagi proses pengecaman dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat (carilamat) hari ketiga di Perairan Pulau Tengah ditangguhkan pada jam 7.30 petang kerana jarak penglihatan terhad dan bersambung jam 7 pagi Ahad.

Operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam, Agensi Pengurusan Bencana Malaysia serta komuniti nelayan setempat. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:Maritim gerak aset cari dua pekerja kelong hilang di laut