KWP hasrat anjur sesi town hall bincang isu gelandangan

Jalaluddin beramah mesra bersama warga gelandangan pada sesi lawatan ke Program Edaran Pek Makanan kepada gelandangan ketika di Pusat Anjung Singgah Jalan Hang Lekiu pada Sabtu. - Foto Bernama
Jalaluddin beramah mesra bersama warga gelandangan pada sesi lawatan ke Program Edaran Pek Makanan kepada gelandangan ketika di Pusat Anjung Singgah Jalan Hang Lekiu pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) berhasrat untuk mengadakan sesi ‘town hall’ dengan badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan atau individu yang aktif mengagihkan segala bentuk bantuan di ibu negara, akhir bulan ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sesi itu bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan cadangan bagi mencari jalan penyelesaian dalam menyalurkan segala bentuk bantuan khususnya makanan buat golongan gelandangan.

"Kita percaya mereka memiliki niat yang murni untuk melihat kumpulan gelandangan ini tidak kelaparan. Khidmat dan peranan serta keprihatinan mereka dalam mengurangkan bebanan golongan ini wajar dipuji.

"Namun, secara tidak sedar kita sudah mencipta beberapa masalah sampingan terhadap nilai kemanusiaan dan kesejahteraan bandar akibat daripada penyaluran bantuan yang tidak bersistematik," katanya kepada Bernama selepas program edaran pek makanan kepada gelandangan di Anjung Singgah di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, pengagihan sumbangan makanan secara terus kepada golongan gelandangan di sekitar ibu kota akan menimbulkan pelbagai risiko seperti isu keselamatan, kebersihan dan pembaziran selain mengakibatkan penularan wabak penyakit.

Justeru, Jalaluddin berharap agar segala sumbangan dan bantuan dapat dilakukan di pusat gelandangan seperti Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit yang disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Platform yang disediakan ini jauh lebih baik berbanding dengan keadaan dan amalan kita selama ini sekali gus membantu memudahkan proses kawal selia serta pengurusan gelandangan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: