Tanah runtuh: Penduduk diingatkan bersedia kemungkinan lebih buruk

Dr Latiff melakukan lawatan ke lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights pada Sabtu.
Dr Latiff melakukan lawatan ke lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights pada Sabtu.
A
A
A

KEMENSAH - Penghuni bagi 27 kediaman terlibat insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights diingatkan untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan berlakunya situasi lebih buruk di lokasi kejadian terutama sekiranya hujan berterusan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Latiff Ahmad berkata, pergerakan tanah dikesan masih berlaku meskipun ketika cuaca kering dan dikhuatiri keadaan menjadi lebih buruk jika hujan berterusan.

"Saya lihat sendiri kesan runtuhan dan ia masih berlaku. Jadi, tidak boleh pandang ringan kerana jika hujan berlarutan, ia mungkin mempunyai kesan lebih teruk. Paling penting utamakan keselamatan nyawa dan beri amaran kepada penduduk setempat supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Walaupun ketika tidak hujan, pergerakan tanah masih berlaku. Lebih baik jangkakan keadaan lebih buruk daripada memberi harapan yang salah kepada masyarakat di sini," katanya ketika sidang media selepas lawatan ke lokasi kejadian tersebut di sini pada Sabtu.

Pada masa sama, beliau berkata, paling utama ketika ini, pembaikan di kawasan terjejas telah dimulakan dan kerja-kerja awal pembersihan runtuhan dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada petang Sabtu bagi memastikan aliran sungai lebih lancar.

"Bencana ini kena dikaji secara saintifik dan berdasarkan data kerana runtuhan masih berlaku. Paling penting, apa yang berlaku sekarang ini telah diambil tindakan," kata beliau.

Pada masa sama, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bertindak memasang kanvas bagi mengelakkan hakisan sementara kerja-kerja pemasangan kepingan besi (sheet pile) juga dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.

Insiden tanah runtuh di kawasan tersebut berlaku pada jam 9.33 malam Jumaat menyebabkan semua penduduk terlibat diarah mengosongkan kediaman mereka.

Artikel Berkaitan: