Pembuangan sisa terjadual: Suspek dilepas dengan jaminan polis

Keadaan air di Sungai Tawakal Kampung Baru Sri Aman, Johor Bahru yang dilihat semakin pulih selepas insiden pembuangan sisa terjadual pada Selasa lalu.
Keadaan air di Sungai Tawakal Kampung Baru Sri Aman, Johor Bahru yang dilihat semakin pulih selepas insiden pembuangan sisa terjadual pada Selasa lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lapan suspek dipercayai terbabit kes pembuangan sisa terjadual di Sungai Tawakal, Kampung Baru Sri Aman di sini pada Selasa (14 September) dilepaskan daripada tahanan reman.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor, Dr Fahmee Yusoff berkata, kesemua suspek berkenaan dilepaskan dengan jaminan polis selepas selesai memberi keterangan.

“Kesemua lapan suspek yang menjalani tahanan reman sejak Khamis lalu telah lengkap diambil keterangan dan dibebaskan hari ini.

"Ketika ini pegawai siasatan JAS sedang melengkapkan kertas siasatan insiden pembuangan sisa terjadual di Kempas. Selesai semuanya kita akan membuat pertuduhan di mahkamah,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada petang Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan seramai sembilan suspek telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden pembuangan sisa bahan terjadual berkenaan.

Dalam insiden itu, empat penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong dilaporkan pengsan, manakala ratusan lagi terpaksa dipindahkan, selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada Sungai Tawakal.

Dalam pada itu, Fahmee memaklumkan, seorang lagi suspek yang turut ditahan telah dilepaskan terlebih dahulu dengan jaminan polis pada Rabu lalu selepas diambil keterangan.

Artikel Berkaitan: