X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

MPM akui terima rakaman CCTV 'call room'

Muhammad Ziyad. (Gambar kecil, Megat Shahriman)
A
A

PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat Shahriman Zaharuddin mengakui pihaknya telah menerima secara rasmi rakaman bagi kamera litar tertutup (CCTV) di bilik menunggu (call room) bagi acara lontar peluru Sukan Paralimpik Tokyo 2020, lalu.

Menurut Megat Shahriman, rakaman CCTV berkenaan diperolehi daripada pihak pihak Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) Paralimpik Tokyo 2020.

Malah katanya, pihak MPM juga telah menerima maklum balas daripada pihak Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), berhubung perkara berkenaan.

“Pertamanya rakaman CCTV yang diterima adalah daripada pihak Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) Paralimpik Tokyo 2020, kerana sebelum ini, ada tiga CCTV dan kita tidak tahu ia milik pihak mana, samada pihak stadium atau pihak berkuasa tempatan.

“Yang kedua, kita juga sudah menerima maklum balas daripada pihak Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan kedua-dua perkara ini akan saya serahkan kepada pihak jawatankuasa siasatan MPM dan MSN untuk tindakan lanjut.

“Oleh itu, diharapkan semua pihak dapat bersabar dan pihak jawatankuasa siasatan berkenaan akan keluarkan kenyataan rasmi perkara berkenaan nanti,” katanya menerusi satu kenyataan media dalam talian pada Sabtu.

Pada temasya Paralimpik Tokyo 2020 lalu, jaguh lontar peluru para negara, yang juga pemenang pingat emas di Olimpik Rio 2016 lalu, Muhammad Ziyad Zolkefli terlepas peluang untuk memenangi pingat emas acara berkenaan apabila diklasifikasikan sebagai DNS (tidak bermula), kerana lewat melapor diri di call room.

Malah, lontaran Muhamamd Ziyad sejauh 17.94 meter yang turut memperbaharui rekod dunia miliknya iaitu 17.29 meter yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London tidak diiktiraf.

Pembatalan penyertaan Muhammad Ziyad itu sekali gus menyaksikan peserta Ukraine, Maksym Koval yang sekadar menduduki tempat kedua memenangi emas dan lontarannya sejauh 17.34 meter diiktiraf selaku rekod baharu dunia.

Sementara itu, Megat Shahriman berharap agar isu berkenaan akan dapat diselesaikan dengan baik dan teratur.

“Seperti yang telah saya maklumkan tadi, kita akan buat yang terbaik. Kita berikan ruang dan masa agar perkara ini dapat diselesaikan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!