Sedia garis panduan pusat jagaan ibu selepas bersalin

Chong Eng
Chong Eng
A
A
A

GEORGETOWN - Satu jawatankuasa kerja ditubuhkan untuk menyediakan garis panduan berkaitan pusat jagaan ibu selepas bersalin bagi menjamin keselamatan dan kesihatan ibu serta anaknya.

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata, jawatankuasa itu diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang merangkap Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Lim Siew Khim bersama ADUN Bukit Tambin, Goh Choon Aik, ADUN Berapit, Heng Lee Lee.

Menurutnya, keputusan menubuhkan jawatankuasa itu dibuat dalam Mesyuarat Kerajaan Pembangunan Sosial pada 14 September lalu.

"Zaman dahulu ibu-ibu berpantang di rumah dan dijaga oleh ibu atau ahli keluarga tetapi kini ramai golongan ibu mula menggunakan perkhidmatan pusat jagaan kerana sokongan yang tidak mencukupi khasnya bagi mereka yang bekerja di bandar.

"Pusat penjagaan ibu selepas bersalin dan bayi secara berdaftar menjadi suatu keperluan untuk golongan ibu. Bagaimanapun, setakat ini pusat penjagaan hanya diiktiraf sebagai perniagaan dan didaftarkan di bawah lesen perniagaan kendalian pihak berkuasa tempatan," katanya dalam kemyataan pada Sabtu

Chong Eng berkata, pusat jagaan ibu bersalin dan bayi masih mempunyai masalah pendaftaran kerana ia tidak termaktub dalam Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Katanya, antara perundangan dikehendaki untuk mereka patuhi adalah piawaian tukar guna premis, kesihatan dan keselamatan di bawah jabatan bomba.

"Oleh itu, jawatankuasa kerja ini ditugaskan untuk bekerjasama dengan semua pemegang taruh untuk menghasilkan garis panduan yang sesuai bagi memudahcara pengusaha membuat permohonan pendaftaran sehingga mendapat kelulusan yang sah," katanya.

Artikel Berkaitan: