X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Orang asli selesai divaksin sebelum November

Abdul Rahman (kiri) beramah mesra dengan masyarakat orang asli pada misi vaksinasi masyarakat orang asli di Pos Gob pada Sabtu.
A
A

GUA MUSANG - Kerajaan menjangkakan proses suntikan vaksin Covid-19 untuk masyarakat orang asli di seluruh negara diselesaikan sebelum November tahun ini.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, jika pihaknya memperoleh bekalan vaksin jenis CanSino sebagaimana yang dipohon proses itu akan dapat dipercepatkan pada Oktober depan.

"Untuk makluman, kita mempunyai 144,180 masyarakat orang asli di negara ini dan sehingga Sabtu lebih 90,000 telah menerima suntikan vaksin tersebut," katanya ketika ditemui pada misi vaksinasi masyarakat orang asli di Pos Gob pada Sabtu.

Menurutnya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah memohon bekalan vaksin jenis CanSino sekitar 50,000 hingga 70,000 dos untuk kegunaan masyarakat orang asli di seluruh negara.

Beliau berkata, suntikan untuk remaja orang asli berusia 12 hingga 18 tahun akan turut dilakukan sebagaimana yang disarankan oleh kerajaan.

"Suntikan vaksin ini bagi membolehkan remaja orang asli mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata, KPLB melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berganding bahu dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menjayakan program vaksinasi untuk orang asli.

"Proses membawa bekalan vaksin ke perkampungan orang asli yang sukar untuk 'ditembusi' melalui jalan darat akan menggunakan helikopter.

"Penggunaan secara optimum aset kerajaan seperti helikopter ke kawasan pedalaman itu mampu meningkatkan kadar vaksinasi keseluruhan masyarakat orang asli di seluruh negara seperti yang dirancang oleh kerajaan menjelang Oktober ini," katanya.

Menurutnya, sebagai contoh dalam kawasan Pos Gob pada Sabtu, jumlah penduduk orang asli ialah 818, manakala yang layak divaksin ialah 418 orang.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya mendapati kurang daripada 20 peratus masyarakat orang asli tidak bersedia untuk menerima suntikan vaksin.

Katanya, ia berkemungkinan disebabkan terpengaruh dengan anasir luar mengenai kesan vaksin.

"Namun kita telah guna khidmat tok batin, guru dan sebagainya untuk memujuk golongan ini,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!