X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

MOSTI peruntuk hampir RM60 juta R&D vaksin Covid-19

MOSTI peruntuk hampir RM60 juta bagi R&D vaksin Covid-19 dalam usaha kurangkan kebergantungan kepada bekalan vaksin dari luar negara. - Foto fail Bernama
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperuntukkan hampir RM60 juta bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin Covid-19 dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada bekalan vaksin dari luar negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, daripada jumlah itu, RM54 juta disediakan kepada Malaysia Genome Institute (MGI), manakala RM2.5 juta bagi kumpulan pengkaji pembangunan vaksin menggunakan teknologi Messenger Asid Ribonukleik (mRNA).

“Peruntukan berjumlah RM2.5 juta lagi disediakan untuk tujuan pembangunan vaksin daripada toksin kuman yang dinyahaktif di Universiti Putra Malaysia (UPM),” katanya selepas merasmikan program mobilisasi vaksin komuniti peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang Fasa 8.0 di Pantai Senok, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, menerusi R&D vaksin itu, kementerian menjangkakan vaksin tempatan dapat dikeluarkan dalam tempoh dua hingga lima tahun.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata, kementerian turut melaksanakan diplomasi sains dengan negara-negara luar serta universiti di luar negara bagi tujuan tersebut.

“Misalnya untuk kajian vaksin jenis mRNA, kita jalin kerjasama dengan Universiti Chulalongkorn, Thailand yang menjadi perintis pembangunan vaksin itu.

"Proses ini melibatkan hubungan antarabangsa di mana kementerian dan pihak berkaitan perlu memainkan peranan yang penting untuk kejayaan pembangunan vaksin," katanya.

Ahmad Amzad juga berharap Malaysia bakal menjadi pengeluar dan pengimport vaksin terutama bagi pasaran negara-negara Islam.

"Kita berharap dengan penglibatan di peringkat awal Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan juga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kita akan mendapat manfaat sebab masyarakat Islam lebih yakin sekiranya vaksin dikeluarkan oleh negara Islam," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!