X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Pemuisi Selangor gondol Anugerah Platinum SDPAHM

Dr Noor Zari.
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuisi Selangor, Mohamad Hakimi Mohamad Rejab berjaya menggondol Anugerah Platinum sekali gus menjuarai Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan (SDPAHM) 2021.

Pemuisi berusia 35 tahun itu mendeklamasikan puisi karya Mas Idayu Muhamadan bertajuk 'Secangkir dakwat merah'.

Persembahan puisi artistik Mohamad Hakimi yang mantap memukau penonton maya dan menawan hati juri untuk memberikan markah tertinggi.

SDPAHM adalah anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Deklamasi puisi itu diadakan secara langsung dalam talian di media sosial DBP dan PEMUISI pada Rabu lalu.

Terdapat juga persembahan selingan daripada beberapa orang pemuisi jemputan.

Mereka termasuklah Siso Kopratasa, Roslan Madun, Man Kayan, Shareezad Satad, Johan SDPAHM 2020 Noor Azli Sudin serta persembahan jemputan istimewa dari Indonesia, Asrizal Nur daripada PERRUAS, Jakarta.

Anugerah Emas yang merupakan tempat kedua dimenangi peserta dari negeri jelapang padi, Kedah, Zaheera Ibrahim.

Zaheera mendeklamasikan puisi bertajuk 'Pesan untuk anak' karya Che' Su Deraman, manakala, Anugerah Perak disandang peserta Perlis, Rozalita Saupi yang mendeklamasi puisi sama.

Mohamad Hafiz dari Sarawak memenangi Anugerah Busana Terbaik Lelaki.
Mohamad Hafiz dari Sarawak memenangi Anugerah Busana Terbaik Lelaki.

Anugerah Persembahan Terbaik juga disandang Rozalita, manakala Anugerah Busana Terbaik Lelaki diberikan kepada peserta Sarawak, Mohamad Hafiz Ishak.

Pemuisi dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Siti Nur Aini Jasni dipilih memenangi Anugerah Busana Terbaik Wanita.

Sayembara itu diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia dan merupakan penganjuran kali kedua PEMUISI dengan kerjasama DBP dan MOTAC.

Penganjuran kali ini menyaksikan seramai 15 peserta mendeklamasikan puisi patriotik dipetik daripada Antologi Puisi Malaysia Satu terbitan PEMUISI.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Wira Dr Noor Zari Hamat mengucapkan tahniah kepada PEMUISI yang berjaya menganjurkan SDPAHM 2021 buat kali kedua sempena sambutan Hari Malaysia dengan kerjasama MOTAC dan DBP.

Menurutnya, penganjuran SDPAHM memberi pengiktirafan dan mampu memartabatkan karya puisi malah menjadi serampang dua mata iaitu untuk manfaat kepada pemuisi dan juga menghebahkan kepada khalayak umum agar mengikuti, memahami serta melahirkan minat terhadap puisi.

"Karya sastera, termasuk puisi sangat penting kepada pembangunan modal insan ke arah melahirkan generasi yang seimbang dari segi jasmani, emosi dan intelek," katanya.

Sementara itu Presiden PEMUISI, Datuk Dr Radzuan Ibrahim dalam ucapannya menyatakan pihaknya telah membuat penambah baikan dalam penganjuran SDPAHM.

"Antaranya menggantikan piala pusingan daripada Piala Seri Pemuisi kepada Piala Seri Pemuisi Malaysia yang lebih besar, cantik dan tahan lama dan sesuai sebagai piala berprestij yang menjadi rebutan deklamator setiap tahun," ujarnya.

Di samping itu, katanya, kaedah pertandingan dan pemarkahan telah dikaji serta diputuskan oleh jawatankuasa khas supaya SDPAHM menepati konsep artistik yang sebenar mengikut acuan PEMUISI.

"Penganjuran di peringkat negeri diserahkan sepenuhnya kepada Pengerusi Biro PEMUISI Negeri-negeri (PBPN) mulai tahun ini dan senarai peserta akhir kebangsaan terdiri daripada johan setiap negeri termasuk Wilayah Persekutuan.

"Keadaan ini akan berlaku setiap tahun dan sekali gus menjadi acara tahunan PEMUISI seluruh negara serta memeriahkan sambutan Hari Malaysia," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!