Polis Selangor tubuh 700 pasukan pantau kawasan air terjun, pantai

Arjunaidi (tengah) bersama pegawai dan anggotanya membuat pemantauan SOP di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada Sabtu.
Arjunaidi (tengah) bersama pegawai dan anggotanya membuat pemantauan SOP di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada Sabtu.
A
A
A

SEPANG - Polis Selangor mengetatkan pemantauan di destinasi tumpuan pelancongan negeri dengan menempatkan 700 pasukan pemantau setiap hari ekoran peralihan negeri itu ke Fasa 2 Pelan Peralihan Negara (PPN).

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat.

"Kita telah menubuhkan 700 pasukan pemantau membabitkan kira-kira 3,000 anggota setiap hari.

"Semua pantai dan tempat-tempat tumpuan orang ramai di Selangor seperti air terjun dan sebagainya dipantau," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan pematuhan SOP di Pantai Bagan Lalang di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, Polis Selangor telah mengeluarkan 423 kompaun berkaitan kesalahan melanggar SOP Fasa 2 PPN sejak 10 September lepas hingga Jumaat.

Katanya, kompaun itu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka, gagal menjaga penjarakan fizikal dan sebagainya.

Mengenai tinjauan pada Sabtu, Arjunaidi berpuas hati dengan pematuhan SOP di pantai tersebut yang merupakan salah satu tempat tumpuan penduduk untuk berkelah.

"Kalau kita lihat dari segi keseluruhannya memang ramai yang datang, tetapi sebahagian besarnya mereka datang berkeluarga dan mereka duduk berkumpul dalam keluarga mereka sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Kita lihat mereka yang datang ini mematuhi SOP dari segi pemakaian pelitup muka dan sebagainya," katanya.