X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 01 Disember 2021

Gubal segera akta kawal selia semua OTA’s, STRA: MyBHA

Gambar hiasan. - Foto 123rf Gambar kecil : Ganesh
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu segera menggubal akta untuk mengawal selia semua jenis Agensi Pelancongan Atas Talian (OTA’s) dan menguatkuasakan Garis Panduan Penginapan Kediaman Jangka Masa Pendek (STRA) yang telah tertangguh sekian lama.

Perkara itu ditegaskan oleh Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) yang menyifatkan sekiranya ia terus gagal dilaksanakan, akan menjadi satu bentuk penjajahan teknologi norma baharu terhadap industri perhotelan dan pelancongan seterusnya menjejaskan pendapatan negara.

Timbalan Presiden MyBHA, Dr Sri Ganesh Michiel berkata, kerajaan perlu mengambil kira perkara tersebut dalam Belanjawan 2022 bagi memastikan cukai yang telah hilang akibat ancaman industri ini dapat dikutip semula.

Menurutnya, beberapa perkara kini terpaksa dihadapi oleh pengusaha hotel yang telah menjejaskan pendapatan mereka akibat daripada ketiadaan penguatkuasaan undang-undang tersebut.

“OTA’s mengenakan komisen jualan yang amat tinggi sehingga pengusaha hotel tidak mendapat keuntungan yang mencukupi bagi kelangsungan perniagaan mereka. Mereka juga mengaktifkan promosi tanpa sebarang notis mahupun persetujuan daripada pengusaha hotel.

“Mereka juga menawarkan pinjaman kepada pengusaha hotel dan secara langsung akan mengikat pengusaha hotel tersebut dengan pelbagai terma sehingga terpaksa membenarkan OTA’s menjual bilik penginapan dengan harga yang sangat murah dan mengambil komisen jualan yang amat tinggi.

“Selain itu, bayaran cukai digital atau apa-apa caj yang sepatutnya dibayar dan ditanggung oleh OTA’s, dipindahkan kepada pengusaha hotel,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian di sini pada Sabtu.

Beliau menambah, selain itu OTA’s juga mewujudkan suatu perang harga jualan yang mengakibatkan harga jualan bagi bilik hotel semakin hari semakin rendah sedangkan kos operasi semakin bertambah.

“Tiada kawalan terhadap pelanggan atau pengguna yang telah disenarai hitamkan oleh hotel tersebut.

“Penilaian bintang oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya juga telah menjadi tidak relevan apabila OTA’s hanya memaparkan penilaian oleh pengguna berdasarkan pengalaman menginap di hotel tersebut tanpa sebarang usul periksa,” katanya.

Jelas Sri Ganesh lagi, akibat ketiadaan penguatkuasaan undang-undang bagi STRA juga telah menjejaskan industri perhotelan sekali gus bakal menjadikan usaha memulihkan industri perhotelan dan pelancongan tidak akan dapat direalisasikan.

Katanya, kerajaan juga akan mengalami kerugian akibat tiada kutipan cukai perkhidmatan bagi STRA.

“Operasi STRA tidak memerlukan operator untuk mematuhi sebarang prosedur operasi standard (SOP) ketika ini.

“Mereka tidak perlu untuk memiliki surat kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), tidak perlu memiliki apa-apa lesen perniagaan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi, Biro Undang-Undang dan ICT MyBHA mendakwa situasi tersebut membawa risiko berlakunya kegiatan jenayah berlaku di suatu kawasan kediaman.

“Tiada istilah tinggal bersama tuan rumah (Stay with the Host) yang mana semua sedia maklum apa yang telah diuar-uarkan pada awalnya,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!