Tahanan mati dalam lokap: Polis nafi dakwaan balu

Arjunaidi (kanani) meninjau pematuhan SOP Fasa Dua PPN di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada Sabtu.
Arjunaidi (kanani) meninjau pematuhan SOP Fasa Dua PPN di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada Sabtu.
A
A
A

SEPANG - Polis menafikan dakwaan seorang wanita bahawa terdapat kesan bengkak pada badan suaminya yang meninggal dunia di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, dekat Banting pada Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dakwaan itu tidak benar.

"Kita (polis) sudah melihat semua itu dan pihak pakar akan buat laporan tentang hal terbabit.

"Polis juga telah buka kertas siasatan. Bila berlaku sesuatu perkara, siasatan terus dijalankan seperti mana Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal telah jelaskan.

'Itulah tumpuan siasatan kita," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Pantai Bagan Lalang, di sini pada Sabtu.

Arjunaidi turut mengesahkan telah memanggil anggota lokap untuk siasatan lanjut.

"Masih banyak perkara termasuk menunggu laporan pakar dan sebagainya. Dia (tahanan) itu mengalami sakit dan meninggal dunia," jelasnya.

Pada Khamis, Nik Ezanee berkata, siasatan akan menjurus kepada tiga aspek iaitu perbuatan khianat (foul play), kaedah penjagaan tahanan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Artikel Berkaitan:

Pemandu lori, T Vinaiyagar, 49, ditahan di Banting pada 8 September lalu dan isterinya, N Navaneetham, 35, mendakwa tidak menerima sebarang maklumat berikutan suaminya ditahan.

Difahamkan, hasil bedah siasat ke atas lelaki itu menyatakan punca kematiannya akibat ulser dalam perut.

Bagaimanapun, Navaneetham mendakwa melihat kesan bengkak pada badan suaminya.