X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

AUKUS: Malaysia, Menteri Asean akan buat kenyataan bersama

Saifuddin - Foto fail Bernama
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Malaysia telah menyatakan dengan tegas mengenai kebimbangan negara ini dengan pengumuman pakatan strategik ketenteraan baharu Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS).

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, selepas kenyataan bersama pemimpin tiga negara itu, beliau dihubungi rakan sejawatan, Menteri Luar Australia Marise Payne mengenai projek kapal selam itu.

Katanya, tujuan Marise menghubunginya bagi mengelak daripada salah faham mengenai pakatan strategik AUKUS.

“Dalam perbualan itu, saya menyatakan dengan tegas mengenai kebimbangan Malaysia dengan perkembangan terbaharu ini yang berkemungkinan akan menyebabkan reaksi kuasa besar lain, yang juga berminat dengan kawasan rantau Asia.

“Saya juga ada menyatakan bahawa Malaysia sentiasa ingin pastikan wilayah maritim kita sentiasa mengamalkan Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali (ZOPFAN) dan berpegang kepada deklarasi Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) serta Konvensyen PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) 1982 tentang Undang-undang Perjanjian Laut (UNCLOS)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengenai pengumuman Amerika Syarikat mengenai pakatan pertahanan baharu membabitkan negara itu.

Media sebelum ini melaporkan, penubuhan kerjasama keselamatan baharu antara Australia, AS dan UK itu telah membawa era baharu tentera laut negara itu.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dilaporkan mengumumkan, negaranya akan menerima sekurang-kurangnya lapan buah kapal selam berkuasa nukelar melalui rangka kerjasama AUKUS.

Melalui kerjasama itu, Australia dan negara anggota yang lain akan berkongsi maklumat dan teknologi dengan lebih mendalam. Pada masa sama, akan membentuk satu rangkaian integrasi pengetahuan sains, teknologi, industri dan bekalan berkaitan pertahanan serta keselamatan.

Bagaimanapun, keputusan tiga negara berkenaan membina ‘pakatan baharu’ yang diberi nama AUKUS mendapat kecaman kerajaan China yang menganggapnya sebagai ‘amat tidak bertanggungjawab’ dan ‘berfikiran sempit’.

Pakatan itu menyaksikan AS dan UK memberi Australia teknologi membina kapal selam berkuasa nuklear untuk pertama kalinya.

Menurut Saifuddin, Secretarial Asean di Jakarta berhubung dengan semua Menteri Luar Asean termasuk Malaysia untuk mengeluarkan kenyataan bersama atas nama Menteri Luar Asean mengenai isu itu.

“Jadi, ini adalah kedudukan (keadaannya) untuk ketika ini. Perkara ini adalah projek AS yang dibuat dengan kerjasama UK dan Australia.

“Namun, Malaysia telah mengatakan pandangan kita bahawa AUKUS ini boleh menimbulkan reaksi daripada kuasa besar lain dan kita tidak mahu terperangkap dalam perlumbaan senjata antara kuasa besar ini.

“Bagaimanapun, setakat ini, kita tidak tahu secara terperinci mengenai perkara itu, jadi semasa perbualan telefon dengan Marise saya menyatakan hendak tahu lebih lanjut apa sebenarnya pakatan strategik AUKUS ini.

“Sebab apa yang kita tahu ini hanya berdasarkan kenyataan daripada tiga pemimpin negara itu. Perincinya tidak dimaklumkan,” ujarnya.

Jelas beliau, sesebuah kapal boleh melalui kawasan antarabangsa kerana mematuhi akta dan peraturan, tetapi jika memasuki nautikal Malaysia, ia dikira memasuki perairan negara dan perlu minta izin dengan Kementerian Pertahanan.

“Tidak kira kapal perang (kapal selam) hendak melalui secara bebas atau sebalik, kalau hendak memasuki perairan negara, mereka perlu izin, kena kibar bendera dan tidak boleh selam kerana kita tidak tahu mereka bawa senjata nuklear atau tidak.

“Apapun, kalau mereka tidak lalu perairan kita lagi bagus. Negara akan lebih aman dan bebas daripada zon nuklear,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!