X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

Skuad badminton negara mampu pamer prestasi baik: Ahmad Faizal

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyerahkan Jalur Gemilang kepada Kapten Pasukan Badminton Piala Sudirman Lee Zii Jia (dua, kanan) ketika melawat ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.
 Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (kanan).
 - Foto Bernama
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu optimis skuad badminton negara mampu menampilkan aksi mengagumkan pada tiga kejohanan tertinggi, Piala Sudirman, Thomas dan Uber yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat.

Ahmad Faizal berkata, berdasarkan disiplin dan prestasi pemain yang berada di tahap baik, selain ketiadaan kecederaan membimbangkan, beliau percaya skuad kebangsaan mampu memberikan tentangan pada ketiga-tiga kejohanan berpasukan tersebut.

“Saya tidak mengharapkan janji bulan dan bintang daripada pasukan, tetapi mahu melihat mereka membawa nama negara sebagai duta-duta kecil kita dengan menjaga disiplin, nama dan adab di dalam dan luar gelanggang supaya negara dihormati di seluruh dunia.

“Saya harapkan mereka bermain dan faham seluruh rakyat Malaysia daripada Yang di-Pertuan Agong sehingga rakyat biasa bersama-sama mereka ketika berjuang. Waktu mereka melompat, kita pun melompat, waktu mereka jatuh bangun, kita sama-sama jatuh bangun.

“Saya tak nak beri tekanan tapi harap satu persembahan baik diberikan dalam ketiga-tiga kejohanan ini,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara bersama Timbalannya, Datuk Seri Ti Lian Ker.

Sebelum itu, beliau memberikan kata-kata semangat kepada skuad negara, selain menyerahkan Jalur Gemilang kepada Kapten pasukan Piala Sudirman dan Thomas, Lee Zii Jia. Pemain perseorangan itu kemudian mengetuai bacaan ikrar pasukan.

Piala Sudirman dijadual berlangsung di Vantaa, Finland dari 26 September hingga 3 Oktober manakala pusingan akhir Piala Thomas dan Piala Uber akan berlangsung di Aarhus Denmark dari 9 hingga 17 Oktober.

Pada edisi terakhir Piala Sudirman di Nanning, China pada 2019 dan Piala Thomas 2018 di Bangkok, Thailand, skuad negara terkandas di peringkat suku akhir manakala gagal melepasi peringkat kumpulan pada Piala Uber 2018.

Sementara itu, Ahmad Faizal yang kagum dengan fasiliti ABM dan usaha yang dibuat oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam mengasah bakat muda, bercadang untuk mengutarakan idea itu kepada persatuan-persatuan sukan yang lain bagi menggunakan model sama.

Beliau berkata, konsep ‘kekeluargaan badminton’ yang diamalkan BAM dengan menempatkan lebih 60 pemain muda berusia antara 13 dan 18 tahun untuk belajar dan mengasah bakat badminton di bawah satu bumbung merupakan sesuatu yang boleh dicontohi.

“Pemain-pemain ini dipupuk dari awal dari segi pembelajaran, disiplin dan sebagainya. Semuanya berada dalam ini, termasuk homeschooling. Apabila bercakap mengenai akademi, ini adalah akademi yang sempurna,” katanya.

Sementara itu, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria merakamkan penghargaan kepada Ahmad Faizal dan Lian Ker kerana meluangkan masa melawat ABM, walaupun baharu memulakan tugas pada akhir bulan lepas, serta berharap kerjasama itu dapatkan diteruskan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!