X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

KPLB mohon peruntukan lebih untuk orang asli

Abdul Rahman (kanan) beramah mesra dengan orang asli pada misi vaksinasi masyarakat orang asli di Pos Gob pada Sabtu.
A
A

GUA MUSANG - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan memohon peruntukan lebih untuk masyarakat orang asli di negara ini berbanding tahun lalu bagi memastikan golongan tersebut menikmati lebih limpahan pembangunan pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pihaknya khuatir program pembangunan melibatkan golongan berkenaan akan menjadi perlahan jika bajet yang sama terus dipohon.

"Peruntukan ada, tetapi agak perlahan (jumlah sedikit). Jadi, untuk tahun hadapan, kami sedang menyediakan rangka sebaik mungkin dalam membuat permohonan bajet untuk orang asli," katanya ketika ditemui sempena misi vaksinasi masyarakat orang asli di Pos Gob pada Sabtu.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) selaku agensi berkaitan diingatkan supaya membuat bajet melibatkan keseluruhan perkampungan masyarakat berkenaaan di seluruh negara.

Beliau berkata, bagaimanapun jumlah bajet yang ingin dimohon kepada kerajaan masih belum dapat diumumkan kerana ia sedang dirangka.

Abdul Rahman berkata, beliau akan terus memperjuangkan isu-isu berkait dengan orang asli kerana ia merupakan bidang tugas utamanya.

"Masyarakat orang asli ramai di Kelantan, Pahang dan Perak, manakala di tempat-tempat lain hanya terdapat sebilangan kecil.

"Bagaimanapun, Kelantan dan Pahang memerlukan satu peruntukan besar untuk proses pembangunan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!