Tun M puas hati perjalanan gelembung pelancongan Langkawi

Pantai Chenang kembali bernyawa semula melalui program rintis Gelembung Pelancongan Langkawi.
Langkawi mula menerima kedatangan pelancongan mulai 16 September selepas ditutup berikutan pandemik Covid-19. Gambar kecil: Dr Mahathir
Pantai Chenang kembali bernyawa semula melalui program rintis Gelembung Pelancongan Langkawi.
Langkawi mula menerima kedatangan pelancongan mulai 16 September selepas ditutup berikutan pandemik Covid-19. Gambar kecil: Dr Mahathir
A
A
A

LANGKAWI - Tun Dr Mahathir Mohamad secara umum berpuas hati dengan perjalanan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi, namun bekas perdana menteri itu berpandangan masih banyak perkara boleh diperbaiki bagi memastikan kejayaan inisiatif itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, antara perlu diberikan perhatian kerajaan adalah prosedur operasi standard (SOP) berkaitan proses kemasukan pelancong ke pulau ini serta pematuhan SOP oleh pelancong ketika berada di sini.

"Umpamanya bagi pelancong yang datang dengan feri dan kereta mereka perlu mendapatkan permit polis...ini melambatkan perjalanan mereka dan ada antara mereka yang tidak dapat penuhi syarat-syarat (untuk datang ke Langkawi).

"Berkenaan dengan jarak antara pelancong, kita dapati mereka kerap kali (berada) berdekatan (dengan pelancong lain), tidak patuh kepada syarat untuk menjauhkan diri dengan individu lain sejauh satu meter, jadi ini mungkin membawa kesan nanti," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Sebelum itu, Tun Mahathir diberikan taklimat mengenai perkembangan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Nasaruddin Abdul Mutalib di sebuah hotel di sini.

Tun Mahathir berkata, jumlah penumpang dalam pesawat dan feri ke Langkawi juga patut dikurangkan agar penumpang tidak duduk terlalu rapat dengan penumpang lain bagi mengelak sebarang risiko jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, kekerapan penerbangan atau perjalanan feri patut ditingkatkan bagi mengurangkan kapasiti penumpang pada satu-satu masa, kerana menurutnya kira-kira 2,000 pelancong berkunjung ke Langkawi menggunakan perjalanan udara dan 700 menggunakan perkhidmatan feri setiap hari.

"Maka jumlah yang datang melalui udara sangat besar dan pelancong ini duduk berdekatan seolah-olah seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

Walaupun pelbagai langkah diambil untuk mencegah daripada dijangkiti, tetapi kita berpendapat jumlah penumpang perlu dikurangkan agar mereka dapat menjaga jarak,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan belajar daripada apa yang berlaku di negara jiran yang membuat keputusan untuk membuka pusat pelancongan di negara mereka, namun terpaksa menutup semula operasi selepas berlaku peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Mengulas mengenai kesan projek rintis itu kepada Langkawi, Dr Mahathir berkata, walaupun kehadiran pelancong masih belum ramai, ia memberi nafas kepada pulau peranginan ini terutama bagi peniaga dan percaya keadaan akan bertambah baik selepas ini. - Bernama