Kerja pembinaan Gurney Wharf bermula akhir tahun ini

Kerja-kerja pembinaan projek Gurney Wharf bernilai RM176 juta di sini dijangka bermula pada akhir tahun ini, kata Jagdeep Singh Deo. - Foto Bernama
Kerja-kerja pembinaan projek Gurney Wharf bernilai RM176 juta di sini dijangka bermula pada akhir tahun ini, kata Jagdeep Singh Deo. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Kerja-kerja pembinaan projek Gurney Wharf bernilai RM176 juta di sini dijangka bermula pada akhir tahun ini, kata Jagdeep Singh Deo.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri itu berkata, kerja-kerja penambakan projek seluas 53 hektar itu telah selesai.

Beliau berkata, pembangunan projek itu yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 dijadual siap pada suku keempat 2023.

“Sekiranya bukan kerana pandemik ini, kami telah memulakan kerja-kerja fizikal untuk pembangunan projek ini pada Disember tahun lalu.

“Bagaimanapun, kami menggesa semua pihak berkepentingan projek dan kontraktor untuk meneruskan projek Gurney Wharf ini walaupun terdapat kelewatan,” katanya di tapak penambakan Gurney Wharf di sini.

Jagdeep Singh juga berkata, kedua-dua fasa satu dan fasa dua kerja-kerja pembinaan itu akan dijalankan serentak selepas majlis pecah tanah.

Kedua-dua fasa projek itu akan menawarkan kawasan permainan kanak-kanak, gelanggang papan selaju (skate park), dek pemerhatian, tandas awam, persiaran untuk pejalan kaki, kiosk penjaja, kawasan runcit, surau, kawasan landskap, taman rekreasi dan tempat letak kereta bertingkat.

“Kami akan meneliti tender terbuka untuk lima kontraktor bagi projek ini yang terdiri daripada seorang kontraktor utama dan empat subkontraktor bagi kerja-kerja bumbung keluli, pelandskapan lembut, kejuruteraan marin serta gelanggang papan selaju dan taman permainan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI), Bharathi Suppiah berkata, tender akan dibuka selewat-lewatnya bulan ini.

Tender terbuka itu bagi tempoh enam minggu dan kontraktor akan diumumkan pada pertengahan Disember.

“Selepas semuanya diperiksa daripada pihak kontraktor, kerja-kerja pecah tanah boleh dilakukan segera kerana kebanyakan persiapan telah dibuat,” tambah beliau. - Bernama