Belanjawan 2022 fokus industri pertanian: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul (tengah) ketika menandatangani plak ketika melawat pusat penternakan ikan kelah di Kulai di sini pada Sabtu.
Tengku Zafrul (tengah) ketika menandatangani plak ketika melawat pusat penternakan ikan kelah di Kulai di sini pada Sabtu.
A
A
A

KULAI - Belanjawan 2022 dijangka lebih memberi perhatian kepada perkembangan industri pertanian dan penternakan.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu dilihat berdasarkan potensi sedia ada industri pertanian negara dengan matlamat utama untuk memperkasa inisiatif jaminan makanan (food security).

"Untuk Belanjawan 2022, kami mahu fokus kepada sektor pertanian terutama dari segi jaminan makanan. Jaminan makanan ini jika dilihat adalah salah satu elemen penting dalam Pakej Rangsangan dan Belanjawan 2021.

"Jaminan makanan dan sektor pertanian tetap diberi keutamaan bagi membina asas untuk penambahbaikan agar kita tidak terlalu bergantung kepada sumber makanan import untuk jangka (masa) panjang,” katanya dalam sidang media sempena lawatan kerja dua hari ke Negeri Johor di sebuah pusat penternakan ikan kelah di Kulai, pada pagi Sabtu.

Tengku Zafrul berkata, alternatif untuk menaikkan industri pertanian itu juga dilihat sebagai kesinambungan belanjawan tahun lalu selain jumlah peruntukan dibelanjakan.

"Secara keseluruhannya, melalui pakej-pakej rangsangan dan Bajet 202, sebanyak RM3.15 bilion diperuntukkan untuk sektor pertanian dan sebanyak RM1.75 bilion berjaya disalurkan kepada peladang, penternak dan nelayan untuk projek-projek berkaitan pertanian.

"Projek-projek dilaksanakan termasuk yang berkaitan logistik semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemudahan mikro kredit di bawah Agrobank dan projek-projek negeri termasuk di Johor," katanya.

Dalam pada itu, sempena lawatan berkenaan Tengku Zafrul menzahirkan keterujaannya melihat potensi sedia ada negeri Johor dalam menaikkan industri pertanian sebagai industri utama janaan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

"Pada hari ini saya berkesempatan turun padang untuk melihat potensi di Johor dalam sektor pertanian yang merupakan tema utama sektor pertanian dan agro makanan negara.

"Ia sesuatu yang bagus malah saya difahamkan usaha ini juga selaras dengan misi menjadikan Johor sebagai 'food basket of Malaysia' bagi membangunkan industri agro makanan yang kompetitif," katanya.