34 peniaga jual kit ujian kendiri melebihi harga kawalan

Rosol (dua dari kiri) berkata sesuatu kepada penerima vaksin yang hadir ke PPV ABM Wilayah Timur di Jenagor pada Sabtu.
Rosol (dua dari kiri) berkata sesuatu kepada penerima vaksin yang hadir ke PPV ABM Wilayah Timur di Jenagor pada Sabtu.
A
A
A

HULU TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan 34 peniaga menjual kit ujian kendiri antigen Covid-19 melebihi harga kawalan ditetapkan kerajaan.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, ia hasil pemeriksaan ke atas lebih 1,800 farmasi, klinik dan premis yang menjual kit ujian kendiri antigen Covid-19 di seluruh negara bermula dari 5 hingga 17 September.

“Daripada jumlah itu, didapati 1,552 peniaga menjual kit ujian ini mengikut harga kawalan manakala 185 premis lagi menjual di bawah harga RM19.90.

"Setakat ini satu kompaun bernilai RM250 dikeluarkan kerana menjual melebihi harga maksimum," katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur di Jenagor, di sini pada Sabtu.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan harga borong dan runcit bagi kit ujian kendiri Covid-19 diletakkan di bawah kawalan berkuat kuasa 5 September menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kit berkenaan dijual pada harga RM16 (borong) dan RM19.90 (runcit) bagi satu set.

Sementara itu, ditanya mengenai kenaikan harga ikan hingga RM2 sekilogram dalam pasaran, Rosol mengesahkan ada menerima aduan berhubung perkara tersebut dan KPDNHEP sedang membuat pemantauan.

Menurut Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu, berdasarkan aduan diterima, ikan selayang sekarang dijual dengan harga RM16 satu kilogram manakala ikan kembung mencecah RM22 sekilogram pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan awal mendapati, kenaikan ini disebabkan beberapa faktor terutama pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi dengan restoran mula beroperasi menjadikan bekalan terhad kerana pemintaan sudah mula meningkat,” katanya.

Sehubungan itu kata Rosol, pihaknya berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk membekalkan lebih banyak ikan sejuk beku Q’Fish untuk dijual kepada pengguna bagi menstabilkan harga ikan dalam pasaran.

“Q’Fish ini bukan ikan sejuk beku lama tapi ikan segar dari laut yang terus dibekukan bila tiba di daratan.

"Di Terengganu, ikan Q’Fish diproses di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Besut sebelum dijual,” katanya.