Dua pendaki ditemui selepas lebih lima jam sesat

Tiga anggota bomba sedang bersedia untuk mengemas kelengkapan selepas selesai operasi menyelamat di Bukit Mor, Muar tengah malam Jumaat
Tiga anggota bomba sedang bersedia untuk mengemas kelengkapan selepas selesai operasi menyelamat di Bukit Mor, Muar tengah malam Jumaat
A
A
A

MUAR - Dua sekawan ditemui selamat selepas lebih lima jam tersesat ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Mor di sini pada petang Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Timbalan Penguasa Bomba II, Shahrizal Mokhtar berkata, mangsa ditemui kira-kira jam 10 malam selepas mula mendaki bukit berkenaan pada jam 5.30 petang.

Menurut beliau, mangsa yang diselamatkan masing-masing adalah seorang lelaki berusia 23 tahun dan seorang wanita berusia 24 tahun serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pihak kami menerima laporan kecemasan berhubung kejadian ini pada jam 9.05 malam dipercayai selepas kedua-dua mangsa berjaya menghubungi bomba kerana mempunyai rangkaian telefon bimbit.

“Mangsa ditemui di titik temu (checkpoint 10) laluan menaiki bukit. Bomba percaya punca kejadian kerana kedua-dua mangsa keliru menggunakan laluan yang sepatutnya kerana ketika turun cuaca sudah mula gelap,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada pagi Sabtu.

Shahrizal berkata, operasi menyelamat melibatkan sebuah jentera dengan kekuatan sembilan anggota.

“Kawasan memang sedikit mengelirukan kerana terdapat banyak laluan. Tetapi jika biasa jarak untuk mendaki bukit ini adalah kira-kira dua kilometer dari bawah ke puncak.

“Mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.22 malam,” katanya.

Artikel Berkaitan: