X

Kindly register in order to view this article
!

Lapan rakyat kita terkandas di Liberia tiba di KLIA

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (tiga, kiri) beramah mesra bersama lapan rakyat Malaysia yang terkandas di Monrovia, Liberia ketika menyambut ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. - Foto Bernama
A
A

SEPANG - Lapan rakyat Malaysia yang terkandas di Monrovia, Liberia sejak 4 Februari lalu selepas tertipu dengan sindiket pekerjaan, tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Ketibaan mereka yang kesemuanya berasal dari Sarawak itu disambut Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah. Mereka kemudian menaiki penerbangan pulang ke Sarawak.

Mereka yang berusia 39 hingga 66 tahun terbabit terkandas di negara Afrika itu tanpa wang dan hanya bertahan berbekalkan beras yang diberikan rakyat Malaysia yang bekerja dengan syarikat Sime Darby di Liberia.

“Kalau tidak ada beras itu sudah pasti kami semua sudah mati,” kata Aji anak Surau, 39 sejurus tiba di KLIA.

Selain Aji, mereka yang terkandas ialah Bon anak Egat; Sallim Tahir; Suhaili Gani; Gawan anak Masin; Enyang anak Ato; Untol anak Luyang; dan Dingai anak Nyalak.

Bon yang sebelum ini berpengalaman bekerja dalam industri pembalakan di Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea, berkata mereka ditawarkan kerja pembalakan di Liberia dengan gaji setinggi RM9,000 sebulan.

Menurutnya dia dan Aji serta empat lagi rakan dari Sibu terbang ke Liberia dengan ditemani oleh seorang rakyat Malaysia yang dikenali sebagai 'tauke' dan ketika di negara berkenaan mereka bertemu Salim dan Suhaili yang berasal dari Betong.

“Namun kerja pembalakan dengan gaji setinggi RM9,000 itu tidak wujud dan kami ditinggalkan di rumah tanpa bekalan air dan elektrik. Tauke pula meninggalkan kami kerana buntu dan tidak tahu berbuat apa.

“Mujurlah ada rakyat Malaysia di Liberia yang bekerja dengan Sime Darby yang dapat tahu nasib kami dan atas dasar simpati mereka memberikan beras untuk kami bertahan,” kata Bon, menambah sebelum itu mereka terpaksa makan daun betik untuk meneruskan kehidupan.

Saifuddin ketika bercakap kepada pemberita, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Liberia dan warga Malaysia pekerja Sime Darby di negara tersebut yang membantu mangsa yang terkandas itu.

“Saya ingin menasihatkan rakyat Malaysia supaya berhati-hati apabila dapat tawaran bekerja di luar negara kerana ini bukan kejadian pertama.

“Periksa dengan pihak yang berkenaan terutamanya perwakilan Malaysia sama ada syarikat yang menawarkan pekerjaan itu sah atau tidak,” katanya.

Dalam kenyataannya hari ini, Wisma Putra berkata Kementerian Luar menerusi usaha diplomatik dan konsular bersepadu berjaya membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas tersebut.

Ini termasuk sepucuk surat yang diutus Saifuddin kepada rakan sejawatannya dari Liberia, Gbehzohgar M. Findley memaklumkan tentang rakyat Malaysia yang terkandas serta memohon bantuan kerajaan Liberia untuk menghantar pulang mereka.

Kementerian Luar juga menghantar dua pegawai sebagai utusan khas ke Monrovia pada 26 Februari lalu bagi memastikan kejayaan misi.

Ini merupakan kejayaan kedua kerajaan selepas membawa pulang 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja sebelum ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!