Dua penyerang tonggak bertembung aksi Chelsea, Spurs

Lukaku. - Foto Gettyimages
Lukaku. - Foto Gettyimages
A
A
A

PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel menyifatkan aksi berdepan Spurs pada Ahad bakal menjadi pertembungan dua penyerang tonggak bagi kedua-dua pasukan melibatkan penyerang Chelsea, Romelu Lukaku dan tonggak skuad The Lilywhites, Harry Kane.

Menurut Tuchel, pertembungan itu pasti menarik berikutan Lukaku mahu menambah jaringan setelah meledak tiga gol setakat ini manakala Kane akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan dirinya mampu meledak jaringan pembukaan musim ini di hadapan penyokong sendiri.

“Setelah memenangi kasut emas musim lalu, Kane masih belum berjaya menjaringkan gol musim ini.

Kane. - Foto Gettyimages
Kane. - Foto Gettyimages

“Bagaimanapun, kedua-dua penyerang itu telah menjaringkan gol-gol penting musim lalu dan mereka sememangnya gemar untuk menjaringkan gol.

“Oleh itu, mereka pasti akan berusaha untuk menjaringkan gol lagi pada perlawanan kali ini dan jika diturunkan, sudah pasti saya akan mengarahkan benteng pertahanan kami untuk mengawal dan mengekang pergerakannya,” katanya.

Sementara itu Tuchel percaya, skuad kendaliannya itu telah muncul selaku pasukan yang sukar untuk ditewaskan pada saingan Liga Premier Inggeris (EPL) kali ini, biarpun masih belum mencapai tahap terbaik.

Menurut Tuchel, kedudukan Chelsea tempat kedua EPL ketika ini walaupun berkongsi 10 mata dengan Manchester United, Liverpool dan Everton sudah cukup untuk menggambarkan kewibawaan skuad kendaliannya itu

Artikel Berkaitan:

Tuchel. - Foto The Times
Tuchel. - Foto The Times

“Saya sendiri tidak menjangkakan kami mampu berada dalam kelompok teratas EPL pada awal September, khususnya setelah mengharungi saingan pra-musim selain pandemik Covid-19.

“Bagaimanapun bagi saya apa yang penting buat masa ini adalah kami telah membuktikan bahawa kami adalah pasukan yang kompetitif, beraksi dengan baik dan mampu memenangi perlawanan dalam waktu yang sukar.

“Apa pun, saya tidak bermaksud bahawa kami telah beraksi dengan baik, cuma kami kini telah menjadi pasukan yang sukar untuk ditewaskan,” katanya menjelang aksi berdepan Tottenham Hotspur pada Ahad.

Untuk rekod, pemain tengah Chelsea, N'Golo Kante telah pulih daripada kecederaan kaki dan berkemungkinan diturunkan manakala Christian Pulisic yang mengalami kecederaan buku lali masih belum pulih tidak ada dalam senarai untuk perlawanan tersebut.