Perancis berang tindakan 'tikam belakang AS'

Tindakan memanggil pulang duta Perancis ke Australia dan AS dibuat atas permintaan Presiden Emmanuel Macron. - Agensi
Tindakan memanggil pulang duta Perancis ke Australia dan AS dibuat atas permintaan Presiden Emmanuel Macron. - Agensi
A
A
A

PARIS - [DIKEMAS KINI] Sekutu paling lama Amerika Syarikat (AS), Perancis memanggil pulang dutanya ke negara itu selepas berang dan berasa tersisih atas tindakan Washington membentuk pakatan sekutu tiga hala dengan Australia dan Britain.

Susulan pengumuman pakatan yang digelar AUSKUS itu, Canberra membeli kapal selam nuklear dan peluru berpandu Tomahawk dari AS.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan Perancis kerana Australia membatalkan perjanjian pembelian kapal selam konvensional bernilai AUD50 bilion (RM152 bilion) yang dimeterai kedua-dua negara pada 2016.

Menteri Luar Negeri Perancis, Jean-Yves Le Drian menyatakan ia adalah satu bentuk tindakan tikam belakang dari Australia.

Menurutnya, arahan memanggil pulang Philippe Etienne dibuat atas permintaan Presiden, Emmanuel Macron.

Paris turut memanggil pulang Duta Besar Perancis ke Australia namun tidak memanggil pulang dutanya ke United Kingdom (UK), walaupun seorang diplomat menyelar Britain sebagai mengambil kesempatan atas pembentukan AUSKUS.

"Atas permintaan Presiden, saya memutuskan untuk segera memanggil pulang duta di AS dan Australia untuk perundingan.

"Tindakan ini bagi menjustifikasikan pengumuman 'luar biasa' Australia dan AS pada 15 September lalu," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, seorang diplomat kanan Perancis memberitahu AP bahawa Macron menerima surat daripada Perdana Menteri Australia, Scott Morrison pada Rabu berhubung pembatalan kontrak yang ditandatangani antara Paris-Canberra lima tahun lalu.

Mengulas lanjut perkara itu, Le Drian berkata; "Ia benar-benar tindakan tikam belakang. Kami menjalin hubungan atas dasar saling mempercayai dengan Australia. Namun kepercayaan itu dikhianati."

Tambah Le Drian, tindakan AS menjual aset ketenteraan kepada Australia tanpa mempedulikan perjanjian Paris-Canberra mengingatkan beliau kepada tingkah laku yang serupa ketika era pentadbiran bekas Presiden, Donald Trump.

Baru-baru ini, AS mengumumkan pembentukan pakatan AUSKUS dengan Australia dan Britain di Washington dalam usaha memperkuat aset tentera bagi menghadapi kebangkitan China.

China menyelar pakatan itu sebagai sangat tidak bertanggungjawab dan menjadi ancaman kepada kestabilan di rantau Indo-Pasifik. - Agensi