Lapor segera dalang, YB tawar ganjaran RM300!

Tze Min (kiri) meninjau sisa buangan yang dibakar sehingga menyebabkan pencemaran bau dan udara.
Tze Min (kiri) meninjau sisa buangan yang dibakar sehingga menyebabkan pencemaran bau dan udara.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Mana-mana individu yang berjaya memberi maklumat tepat dalang yang terlibat dalam kegiatan pembuangan dan pembakaran sisa pepejal haram di Taman Kempas di sini, bakal diberikan ganjaran RM300.

Exco Alam Sekitar, Simon Ooi Tze Min berkata, pihaknya secara peribadi menawarkan ganjaran itu bagi memastikan pihak yang tidak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Beliau yang juga ADUN Bakar Arang berkata, sebelum ini, pemantauan ke lokasi terbabit telah dijalankan namun kejadian sama dilihat berulang walaupun kawasan berkenaan telah dipasang palang sehingga menyebabkan pencemaran sekaligus menjejaskan kira-kira 500 murid di sekolah berdekatan.

"Saya sudahpun melawat kawasan sama setahun lalu dan kali ini lepas menerima aduan sama saya lihat palang yang dipasang telah dialihkan pihak tertentu yang sengaja melanggar undang-undang.

"Saya dengan ini menyediakan ganjaran istimewa RM300 kepada penduduk yang membantu menyalurkan maklumat atau boleh beri gambar kenderaan yang terlibat dengan nombor pendaftaran yang jelas bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau tapak kebakaran haram atas bukit di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tai Tong, Taman Kempas hari ini.

Hadir sama, Pengurus Cawangan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Pembersihan Awam (SWCorp), Mohd Azam Abd Hamid.

Kawasan pembuangan sisa haram dan pembakaran terbuka.
Kawasan pembuangan sisa haram dan pembakaran terbuka.

Difahamkan, sampah terdiri daripada beberapa bahan buangan dipercayai didalangi syarikat industri yang dibuang dan kemudian dibakar oleh pihak kedua bagi mencari barangan bernilai sebelum dijual semula.

Artikel Berkaitan:

Tindakan itu bagaimanapun telah menyebabkan pencemaran udara dan menimbulkan bau kurang enak sehingga menjejaskan murid sekolah dan penduduk setempat.

Sementara itu, Mohd Azam berkata, bagi kawasan Sungai Petani, setakat ini, dua kertas siasatan telah dibawa ke proses pendakwaan dan masih dalam perbicaraan membabitkan kes berkaitan.

Manakala, dua kes telah dirujuk kepada timbalan pendakwaraya dan satu kes lagi masih dalam siasatan.

"Bagi kawasan pembakaran haram di Taman Kempas, kita masih jalankan intipan bagi mengenal pasti pihak terlibat membuang sisa buangan di tempat tidak dibenarkan sebelum dibakar oleh pihak lain bagi mendapatkan bahan yang boleh dijual semula.

"Semalam bomba dah masuk dan padamkan api, kita juga memohon agar pihak berkuasa tempatan untuk memasang halangan kekal bagi mengelakkan kawasan ini dicerobohi selain akan mengenakan tindakan tegas kepada pihak terlibat,"katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak didapati bersalah membuat longgokan, siasatan mengikut Akta 672 Seksyen 71 Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam boleh dijalankan di mana hukuman denda minimum sebanyak RM10,000 dan maksimum RM100,000 boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan.