X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Pelumba TBPR pamer tunggangan konsisten

Norafizah
A
A

PELUMBA Tune Boss Pink Racing (TBPR) bukan terpantas tetapi merupakan pejuang seperti dibuktikan ketika menyingkap tirai saingan Pusingan 3 kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Sepang Utara pada Jumaat.

Barisan pelumba TBPR kembali ke litar untuk meneruskan baki perlumbaan yang bersambung selepas ditangguhkan sejak Mei lalu berikutan pandemik Covid-19.

Agenda bermula dengan sesi latihan bebas pada sebelah paginya yang dipergunakan sepenuhnya krew pasukan untuk melakukan kerja-kerja pelarasan jentera agar bersesuaian dengan gaya tunggangan para pelumbanya.

Hasilnya agak memuaskan meskipun sukar untuk memastikan ia sempurna 100 peratus - lagi pun setiap pelumba mempunyai pelarasan yang berbeza.

Ketika mengharungi dua sesi latihan bebas bagi kelas CP125, hasilnya telah menunjukkan peningkatan yang amat ketara terutama pada sesi kedua apabila tiga pelumbanya Mohd Harith Farhan Baharin, Siti Norafizah Mohamad dan Saiful Azhary berjaya menempatkan diri dalam kelompok 15 pelumba terpantas.

Perkembangan tersebut pastinya akan memberi kayakinan kepada barisan pelumba TBPR untuk terus tampil konsisten mengharungi saingan Pusingan 3 dan 4 minggu ini.

Detik-detik paling menarik pastinya ketika mereka beraksi dalam sesi kelayakan kelas CP125 itu.

Jentera nampak stabil, namun barisan pelumbanya tetap menggunakan sesi tersebut bagi menguji kemampuannya untuk memberi saingan kepada para pencabar.

Malah, pada sesi kelayakan itu Norafizah atau lebih dikenali sebagai Fifi pernah mempimpin kedudukan sebelum membuat keputusan untuk menyimpan ‘senjatanya’ sebagai persiapan menghadapi saingan sebenar pada Sabtu.

Hartih Farhan juga dilihat semakin memperagakan gaya tunggangan yang agak mencengkam manakala anggota terbaharu TBPR, Saiful Azhary masih mencari rentak bagi menyesuaikan diri dengan suasana baharu.

Namun, dia tetap mampu menampilkan aksi terbaik walaupun masih belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan jenteranya.

Pada sesi kelayakan itu, Harith muncul pelumba terpantas buat TBPR apabila menghuni kedudukan ke-10 dengan catatan masa 1:24.092 saat (s) manakalan Fifi dan Saiful masing-masingnya menamatkan sesi tersebut di kedudukan ke-13 dan 14.

Dengan kedudukan tersebut, Harith akan bersaing dalam sesi Shoot-out bagi merebut kedudukan petak pada Sabtu.

Md Hafiza Rofa dari ONEXOX TKKR Racing Team menguasai sesi kelayakan kelas CP125 itu dengan catatan masa terpantas 1:22.229s.

Seorang lagi pelumba TBPR, Siti Norsyafiah Alia Saarizan yang menggalas cabaran dalam kategori Wira, kini sudah mula memperlihatkan kayakinan dan berharap dia mampu menjelmakan kejutan pada saingan sebenar.

Bagi TBPR, walau apa pun keputusan yang bakal diraih oleh barisan pelumbanya, mereka harus terus berjuang kerana ia merupakan kunci untuk meraih kejayaan.

Pemilik yang juga pengurus TBPR, Nur Atikah Azwar tetap berbangga dan memuji komitmen dipamerkan dalam kalangan pelumbanya.

“Walaupun sudah berehat lebih tiga bulan, namun saya tetap berbangga dengan apa yang dibuktikan semua pelumba. Mereka tahu dengan tanggungjawab masing-masing dan tahu apa yang perlu dilakukan ketika mengharungi perlumbaan.

“Selepas berehat lama, semua kerja-kerja pelarasan jentera seolah-olah bermula dari awal dan ini suatu yang sangat mencabar buat kami. Saya bersyukur semua krew pasukan serta pelumba dapat menyempurnakannya dengan baik,” jelas Nur Atikah.

Sebagai pasukan baharu dalam kejuaraan Cub Prix Malaysia, mereka tidak meletakkan sasaran tinggi kerana mereka percaya bahawa setiap kejayaan itu memerlukan proses sebelum ia dapat direalisasikan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!