Saran cukai tambahan golongan kaya

Sistem cukai di negara kita memberikan keistimewaan kepada kumpulan T20 melalui beberapa cara, antaranya memberikan keistimewaan melalui insentif pelaburan.
Sistem cukai di negara kita memberikan keistimewaan kepada kumpulan T20 melalui beberapa cara, antaranya memberikan keistimewaan melalui insentif pelaburan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sudah sampai masanya kerajaan mempertimbang cadangan untuk melaksanakan cukai dividen dan keuntungan atas modal terhadap golongan T20 dalam Belanjawan 2022.

Pakar Ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, ia bagi memastikan kerajaan dapat mengutip hasil secara efektif, dengan jumlah yang lebih besar daripada golongan yang berpendapatan tinggi.

Bagaimanapun katanya, apa yang menjadi masalah adalah kumpulan T20 ialah golongan yang mampu menggunakan perancangan cukai, yang mana boleh melantik perunding bagi meminimumkan cukai.

“Selain itu, sistem cukai di negara kita memberi keistimewaan kepada kumpulan T20 melalui beberapa cara, antaranya melalui insentif pelaburan.

“Jadi, kalau mereka menubuhkan syarikat berstatus multimedia, BioNexus atau perintis, mereka akan dikecualikan cukai.

“Kemudian, di Malaysia apa yang menariknya ialah dividen diterima pemegang saham biasanya terdiri daripada kumpulan berpendapatan tinggi ini tidak dikenakan cukai. Dividen memang tidak dicukai di Malaysia.

“Alasannya adalah syarikat sudah dicukai. Jadi, dividen tidak perlu dicukai kerana kalau dilaksanakan, ia akan menjadi cukai berganda,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Jelasnya, berbeza dengan amalan di negara luar seperti Amerika Syarikat (AS), mereka memang melaksanakan sistem cukai berganda yang mana dicukaikan syarikat dan dividen kerana pembayarnya ialah orang yang berlainan.

Artikel Berkaitan:

Cukai syarikat ujarnya, dibayar oleh syarikat dan syarikat mempunyai perunding percukaian dan lain-lainnya yang boleh mengelakkan cukai.

Sebaliknya, jika tidak boleh mengelakkan cukai, mereka akan melaksanakan pengalihan cukai.

“Pengalihan cukai berlaku apabila mereka meletakkan beban kepada pengguna dengan menaikkan harga, dengan harga yang dibayar oleh pengguna.

“Jadi, sebenarnya yang membayar cukainya adalah pengguna, syarikat tak bayar cukai.

“Kemudian, apabila dibayar dividen, pemegang saham pula tak bayar cukai.

“Jadi, memang kumpulan T20 ini kumpulan istimewa di Malaysia yang tidak dikenakan cukai,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, apabila golongan berpendapatan tinggi ini menjual saham secara individu dan mendapat untung, keuntungannya tidak dicukai kerana ia dianggap keuntungan modal.

Alasannya ialah keuntungan modal tidak boleh dicukai kerana apa yang boleh dicukai adalah hasil iaitu keuntungan daripada pendapatan.

Polisi ini katanya, sudah diwarisi sejak berpuluh tahun dahulu iaitu sebelum merdeka lagi dan sudah sampai masanya untuk diubah.

“Kalau kita boleh ubah ini, kita tak perlu pinda apa-apa cukai lagi, kita hanya kenakan cukai ke atas dividen dan kenakan cukai ke atas keuntungan modal.

“Jadi, semua golongan T20 terpaksa membayar cukai,” jelas beliau.