X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Harga emas turun, kedai emas dijangka diserbu hujung minggu ini

Antara barang kemas yang sering menjadi perhatian pembeli ialah gelang tangan.
A
A

SHAH ALAM - Berikutan harga emas yang turun kepada RM236 segram pada Jumaat, kedai emas di sini dijangka menjadi tumpuan penduduk di Selangor menjelang hujung minggu ini.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai emas di Kompleks PKNS, Shah Alam mendapati pengurus premis berkenaan bersedia dengan tawaran harga emas berpatutan serendah RM229 kepada pelanggan yang bakal berkunjung.

Salah seorang pengurus kedai emas, Normi Mohd Noor berkata, pihaknya bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu untuk menerima jumlah pengunjung yang bakal datang ke kedainya pada hujung minggu ini.

Menurutnya, selain penawaran harga yang berpatutan iaitu RM243 termasuk kos upah, Normi akan memastikan hanya enam orang pelanggan dibenarkan berada di dalam premis pada satu-satu masa, selama 20 minit bagi setiap pelanggan.

“Selain penambahan stok, kita juga akan mempertingkatkan kecekapan pekerja bagi menampung peningkatan pelanggan hujung minggu ini.

“Bilangan pekerja juga akan ditambah kepada enam orang termasuk di kaunter dan di bahagian pemotongan dan cuci barang kemas.

“Pelanggan kami juga boleh melihat katalog barangan perhiasan yang dijual melalui saluran Telegram terlebih dahulu sebelum datang ke kedai bagi memendekkan masa pembelian,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, terdapat beberapa orang pelanggan mula hadir ke kedai emas di sini setelah mereka mendapat tahu berkenaan penurunan harga emas pada Jumaat.

Salah seorang pelanggan, Ahmad Fauzi M Nasir, 28, berkata, dia datang ke kedai emas di sini setelah mendapat rekomendasi dari kedai emas lain berkenaan dengan tawaran harga barang kemas yang lebih murah.

Ahmad Fauzi
Ahmad Fauzi

Ahmad Fauzi yang tinggal di Taman Medan, Petaling Jaya datang ke kedai emas di Shah Alam untuk membeli seutas gelang tangan buat teman wanitanya sempena hari lahirnya yang bakal menjelang.

“Saya selalu beli barang kemas di Chow Kit, Kuala Lumpur, tapi harga upah yang dikenakan agak mahal.

“Jadi saya tinjau beberapa kedai emas di Masjid India, Kuala Lumpur dan tempat lain, dan saya dapati harga barang kemas di sini lebih murah,” katanya.

Bagi Siti Nur Hizzathul Masri, 29, dia mengambil kesempatan terhadap penurunan harga emas untuk mendapatkan barang kemas setelah melakukan tinjauan harga di beberapa kedai emas sekitar sini.

Siti Nur Hizzathul
Siti Nur Hizzathul

Ujar Siti Nur Hizzathul, dia lebih gemar membeli barang kemas di kedai berbanding secara dalam talian bagi mengelakkan caj tambahan yang dikenakan oleh penjual dalam talian.

“Saya tahu harga emas turun hari ini, tapi bila saya tinjau beberapa kedai untuk dapatkan harga, kedai di sini tawarkan harga yang lebih murah.

“Saya memang suka simpan barang kemas sebagai aset, jadi bila tahu harga emas turun, saya akan dapatkan dengan segera,” katanya.

Pada Jumaat, harga emas mentah di pasaran turun menjunam mencecah RM236 segram berbanding Khamis yang mencatatkan harga RM240 segram.

Jumlah pengunjung ke kedai emas di Kompleks PKNS Shah Alam dijangka meningkat berikutan penurunan harga emas kepada RM236 segram pada Jumaat
Jumlah pengunjung ke kedai emas di Kompleks PKNS Shah Alam dijangka meningkat berikutan penurunan harga emas kepada RM236 segram pada Jumaat


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!