Aura penggempur tempatan digeruni tak pernah padam

Baddrol (tiga, kanan) bersama pemain Kedah Darul Aman ketika meraikan jaringan semasa perlawanan menentang Terengganu FC di Darul Aman. - Foto Kedah Darul Aman FC
Baddrol (tiga, kanan) bersama pemain Kedah Darul Aman ketika meraikan jaringan semasa perlawanan menentang Terengganu FC di Darul Aman. - Foto Kedah Darul Aman FC
A
A
A

KAPTEN Kedah Darul Aman (KDA FC), Baddrol Bakhtiar percaya semangat pemain tempatan untuk menyerlah sebagai penggempur digeruni masih membara walaupun dibayangi kehadiran penyerang import berbisa.

Malah, Baddrol menyifatkan kehadiran pemain import yang mewarnai saingan liga utama negara perlu dilihat dari sudut positif bersesuaian dengan perubahan semasa industri bola sepak dunia.

“Sejujurnya saya melihat kehadiran pemain-pemain import khasnya penyerang import berkualiti yang mewarnai saingan Liga Malaysia sebagai sesuatu yang positif demi kemajuan bola sepak negara pada masa depan.

“Kehadiran pemain-pemain import berkualiti ini sebenarnya tidak hanya mewujudkan persekitaran persaingan sihat tetapi juga pentas pembelajaran dan membentuk kematangan permainan dalam kalangan pemain-pemain tempatan.

“Cuma dalam isu ini, sekiranya kita melihat kehadiran penyerang import sebagai sesuatu yang negatif, maka negatiflah kesudahannya untuk perkembangan liga bola sepak negara ini, begitu juga sebaliknya,” katanya kepada Sukan Sinar.

Pada masa sama, Baddrol menyifatkan kejayaan berada dalam senarai kelompok 10 terbaik senarai penjaring Liga Super musim ini merupakan hadiah kepada rakan-rakan sepasukan dan penyokong KDA FC.

Aksi Baddrol (kanan) ketika aksi menentang Terengganu FC di Darul Aman. - Foto Kedah Darul Aman FC
Aksi Baddrol (kanan) ketika aksi menentang Terengganu FC di Darul Aman. - Foto Kedah Darul Aman FC

“Pencapaian yang saya peroleh ini juga adalah hasil kerjasama rakan-rakan semasa di padang dan juga para penyokong setia Hijau Kuning yang sentiasa berada di belakang pemain dalam sebarang situasi.

Artikel Berkaitan:

“Sebenarnya kami berdepan pelbagai rintangan sejak awal musim, ditambah dengan situasi Covid-19 dan kepadatan jadual. Namun, alhamdulillah setiap pemain berjaya mempamerkan ketenangan dan kematangan dalam permainan masing-masing.

“Apa yang saya harapkan, pemain-pemain Hijau Kuning akan meneruskan momentum positif dalam Liga Super pada saingan Piala Malaysia nanti,” ujarnya.

Ketika ditanya pencapaian itu membuka ruang semula kepadanya untuk kembali bersama skuad Harimau Malaya, Baddrol berkata: “Keinginan itu tetap ada memandangkan ia satu penghormatan dapat mewakili negara.

“Namun, saya tidak meletakkan harapan tinggi, sebaliknya menyerahkannya kepada coach Tan Cheng Hoe untuk menilai,” katanya yang kali terakhir menyarung jersi Harimau Malaya pada Pusingan Pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

INFO

PENJARING LIGA SUPER 2021

1. Ifedayo Olusegun (Selangor FC - 26)

2. Bergson da Silva (JDT - 23)

3. Kpah Sherman (Kedah Darul Aman - 13)

4. Casagrande (Penang - 12)

5. Tchetche Kipre (Kedah Darul Aman - 10)

6. Paulo Josue (KL City - 9)

7. Baddrol Bakhtiar (Kedah Darul Aman - 7)

8. David Da Silva (Terengganu FC - 7)

9. Sheriddin Boboev (Penang FC - 6)

10. Nana Poku (Perak FC/UiTM FC - 6)