Tipu pekerja: Tiga suspek dikehendaki polis

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Polis sedang mencari tiga lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pekerjaan 47 rakyat Malaysia di Kemboja.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata tiga lelaki yang dikehendaki itu ialah Mohd Ghafar Abd Jamal, 26, Chang Ying Shiong, 25, dan Lai King Loong, 31.

Alamat terakhir Mohd Ghafar di No.79, Kampung Salak, Kuching, manakala Chang Ying Shiong, BP 316, Tingkat 3, Batu Kawa Newtownship, Jalan Batu Kawa dan Lai King Liong, No 66, Medan Jaya, Bintulu.

"Ketiga-tiga suspek ini disyaki dalang sindiket penipuan tersebut, salah seorang daripada suspek sempat kembali ke Malaysia iaitu dua hari sebelum pihak berkuasa Kemboja menyerbu banglo yang dihuni oleh 47 mangsa,” katanya semasa sidang media berhubung kes penipuan pekerjaan 47 rakyat Malaysia di Kemboja di ibu Pejabat Kontinjen Sarawak, di sini, hari ini.

Mustafa berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga suspek itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Pricha Azin di talian 019-889 7640 atau hadir di mana-mana balai polis berdekatan.

Sementara itu, dua suspek yang ditahan pada 25 Februari lepas, iaitu seorang lelaki dan wanita yang masing-masing berusia 35 tahun telahpun dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

"Tempoh tahanan reman selama tujuh hari bagi kes di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan telah tamat dan siasatan masih dijalankan, mereka perlu hadir memberikan keterangan jika diperlukan,” katanya.

Semalam suspek pertama, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun, yang ditahan polis kerana disyaki terlibat dengan kes yang sama turut dibebaskan dengan jaminan polis.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, 24 individu telah membuat laporan polis manakala 12 lagi belum tampil memberikan keterangan.

“Polis telah cuba mengesan mereka di alamat yang diberikan sebelum ini, namun gagal ditemui. Oleh itu, polis menggesa 12 individu tersebut tampil segera ke mana-mana balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Antara individu tersebut adalah Lai Wen Siang, Mark Rogers William Nun, Michelle Rinta Winston Nyulang, Chin Kok Siong, Dixon Chong Yew Yui, Gibson Golip, Hong Yee Chai, Jong Chance Full dan Krisyanto A.Ajiu. - Bernama